suria

Matrade Sasar Jualan RM400 Juta Di Kioge

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menjangka untuk menjana jualan sebanyak RM400 juta pada misi pemasaran khas keduanya ke Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Antarabangsa Kazakhstan (KIOGE) 2014.

Pengarah Bahagian Promosi, Perkhidmatan dan Perdagangan, Seksyen Kimia Minyak dan Gas, Abu Bakar Koyakutty berkata misi pertama pada 2012 telah menjana jualan sebanyak RM200 juta dan membabitkan penyertaan tujuh buah syarikat minyak dan gas.

Bagi misi akan datang, sembilan buah syarikat minyak dan gas serta 14 wakil daripada syarikat tempatan dijangka menyertai pamaran selama tiga hari itu yang bermula pada 30 September.

"Program misi itu termasuk mesyuarat dengan pihak berkuasa minyak dan gas yang relevan dan syarikat-syarikat utama di Kazakhstan. Ini termasuk mesyuarat perniagaan individu yang diatur bagi peserta Malaysia dengan syarikat Kazakhstan dan syarikat asing," katanya pada majlis taklimat media pada Jumaat.

Beliau berkata syarikat Malaysia mempunyai keupayaan untuk menceburi industri minyak dan gas Kazakhstan berikutan mempunyai kepakaran dalam perkhidmatan dan produk laut dalam dan luar pesisir, sejajar dengan asas rizab minyak negara di rantau laut Kaspia, berjumlah kira-kira 30 juta tong minyak dan dua trilion meter padu gas.

Abu Bakar juga berkata syarikat Malaysia berupaya untuk menyediakan infrastruktur bagi industri yang sedang berkembang di Kazakhstan, pengeluar minyak kedua terbesar di Asia Tengah selepas Rusia.

Industri petroleum yang semakin meningkat itu menyumbang lebih 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara dan lebih separuh daripada pendapatan eksportnya.

Abu Bakar turut menggesa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya terlibat dalam sektor minyak dan gas serta mendaftar dengan Matrade bagi membolehkan perbadanan itu mendapat akses kepada syarikat tersebut.

"Hanya kira-kira 200 hingga 300 buah syarikat yang mendaftar dengan Matrade, dan bilangannya masih kecil. Kami tidak dapat mengakses profail syarikat dan sukar untuk memberikan maklumat mengenai misi perdagangan atau sebarang peluang yang berkaitan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penyertaan PKS dalam industri minyak dan gas, Matrade memperuntukkan RM10,000 bagi setiap PKS membolehkan mereka memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka di peringkat antarabangsa. 


Matrade, Kioge

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain