suria

Industri Komunikasi Dan Multimedia Catat Pertumbuhan Perolehan 4.5 Peratus Pada 2013

Mohamed Sharil Tarmizi
KUALA LUMPUR: Industri Komunikasi dan Multimedia (C&M) mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus dalam perolehan kepada RM53.4 bilion pada tahun lepas berbanding RM51.1 bilion pada 2012.

 

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, telekomunikasi merupakan penyumbang utama, menguasai hampir 85 peratus daripada perolehan, diikuti dengan penyiaran (11 peratus) dan selebihnya merupakan sektor pos dan lain-lain (empat peratus).

"Tumpuan kami sejak beberapa tahun lepas ialah untuk membolehkan orang ramai disambungkan melalui perkhidmatan jalur lebar. Sehingga 2013, terdapat 20.3 juta pelanggan jalur lebar, 88.7 peratus adalah pengguna jalur lebar mudah alih, manakala bakinya pengguna talian tetap.

"Pada 2014 dan seterusnya, rakyat Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada infrastruktur telekomunikasi yang dibina lebih 10 tahun lepas.

"Bagaimanapun, kita perlu membina lebih banyak infrastruktur dan mempercepatkan pertumbuhan telekomunikasi untuk maju ke arah gaya hidup digital yang produktif," kata beliau semasa membentangkan Laporan Prestasi Industri 2013, di sini, Khamis.

Beliau yang memberi contoh kredit dalam talian sebagai satu lagi sektor pertumbuhan lain, berkata nilai perbankan internet pada 2013 berjumlah RM3,457 bilion dengan pelanggan meningkat kepada 15.6 juta berbanding hanya 2.6 juta pada 2005.

Sharil berkata, SKMM akan berusaha untuk menyediakan liputan yang lebih meluas bagi perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar melalui pelancaran 4G LTE pada 2013 untuk mencapai liputan penduduk sehingga 50 peratus menjelang 2017.


SKMM, telekomunikasi

Artikel Lain