suria

Institusi Kewangan Islam Digesa Bangunkan Produk, Perkhidmatan Sektor Kebajikan Masyarakat

Abdul Halim Ismail
KUALA LUMPUR: Institusi perbankan dan kewangan Islam perlu membangunkan produk dan perkhidmatan untuk sektor kebajikan masyarakat ketika mereka menggiatkan lagi industri kewangan Islam, kata bekas tokoh perbankan Datuk Dr Abdul Halim Ismail.


Beliau berkata, produk dan perkhidmatan perlu disediakan untuk memudahkan pengaliran dana yang dikumpul daripada sektor awam dan swasta bagi membantu golongan miskin dan memerlukan dalam sektor kebajikan masyarakat.

Justeru itu, beliau mencadangkan penggubalan satu Akta Parlimen dan garis panduan Bank Negara Malaysia untuk penubuhan 'Rumah Sedekah' berlesen.

Abdul Halim, penerima Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam 2014 pada Selasa, berkata seperti syarikat Takaful, Rumah Sedekah menyediakan produk dan perkhidmatan untuk memungut pelbagai jenis derma seperti sedekah, wakaf dan hibah.

"Sebuah Rumah Sedekah mungkin merupakan sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh pemiliknya atau anak syarikat pemiliknya.

"Yang penting ialah Rumah Sedekah dimiliki dan dikuasai oleh sebuah kumpulan perbankan atau sebarang pertubuhan lain yang diberikan lesen," katanya pada satu syarahan awam sebagai penerima Anugerah Diraja itu sempena Forum Kewangan Islam Global di sini, Khamis.

Abdul Halim, yang juga bekas pengarah urusan Bank Islam, berkata melalui Rumah Sedekah itu, penggiat industri boleh menawarkan produk berkaitan khairat yang dikategorikan sebagai Sedekah Jariah, derma yang mendatangkan pahala.

Beliau berkata, Sedekah Jariah penting kepada pemberi dan penerima kerana ia 'merupakan pelaburan untuk akhirat' di samping rezeki jangka panjang serta membasmi kemiskinan.

Anugerah Diraja itu ditaja oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atas inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.

Abdul Halim dipilih sebagai penerima Anugerah Diraja itu atas peranan pentingnya dalam membangunkan struktur organisasi dan prosedur pengendalian bank Islam pertama negara pada 1983.

Sebagai bekas dekan Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Halim mempunyai kepakaran dalam undang-undang Syariah dan perbankan Islam yang membolehkannya menganggotai Lembaga Syariah penyelia Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan Pusat Perniagaan Antarabangsa dan Kewangan Labuan.


Artikel Lain