suria

MAS Pertimbang Semua Pilihan Untuk Pemulihan

Ahmad Jauhari (kanan) dan Md Nor pada sidang media selepas AGM di Akademi MAS, Kelana Jaya pada Rabu.
PETALING JAYA: Penerbangan Malaysia (MAS) menimbang semua pilihan untuk perubahan radikal bagi memulihkan syarikat penerbangan yang menghadapi masalah itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya, bagaimanapun menafikan syarikat itu sedang berunding dengan syarikat penerbangan asing.

Ahmad Jauhari juga enggan menolak beberapa langkah drastik seperti memohon diisytihar bankrap atau menjual sesetengah bahagian syarikat.

"Kami sedang meneroka semua pilihan. Sebaik saja dimuktamadkan kami akan kembali kepada pemegang saham, memaklumkan mereka dan tentunya memberitahu seluruh dunia," beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Rabu.

Ditanya sama ada syarikat penerbangan bermasalah itu akan melaksanakan cadangan penstrukturan semula dalam masa enam hingga 12 bulan akan datang, Ahmad Jauhari berkata, walaupun langkah itu amat kritikal, beliau tidak mahu menetapkan masanya.

Sementara itu, Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof berkata, syarikat itu belum mencapai tahap untuk memohon diisytihar bankrap.

"Anda akan menimbangkan bankrap jika anda tidak mampu menjelaskan hutang. Kami tidak. Anda akan menimbangkan bankrap jika anda tidak dapat melaksanakan tanggungjawab. Kami bukan di peringkat itu," katanya sambil menambah kumpulan itu mempunyai aliran tunai RM3.8 bilion.

MAS juga seharusnya mengeksploit dan memanfaatkan aset baiknya seperti keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih untuk mendapat kesan penting terhadap pemulihan, bukannya cuba memperoleh tunai, kata Md Nor.

Sebelum itu, Ahmad Jauhari berkata, MAS mempunyai empat aset nyata dan ketara bertaraf dunia, iaitu produk, perkhidmatan, keupayaan kejuruteraan dan rekod pencapaian keselamatan, yang nilai sepenuhnya boleh disingkap dan diserlahkan oleh MAS.

Beliau berkata, satu-satu cara untuk menampilkan nilai sebenar semua aset itu adalah melakukan perubahan radikal dalam mengendalikan syarikat dan mempraktikkan amalan dan sistem yang membolehkannya bersaing.

"Ketika kami memuktamadkan rancangan ini, tumpuan utama kami adalah memberikan perkhidmatan bertaraf dunia dan mengembangkan perkhidmatan berkenaan," katanya.

Menurutnya, MAS akan meneruskan program peremajaan pesawatnya dan memastikan ia mempunyai pesawat paling efisyen untuk terbang.

"Kami sedang giat menghentikan penggunaan pesawat lama dan memastikan kami terbang ke laluan yang memberi sumbangan kepada keuntungan," katanya.

Mengenai gesaan pemegang saham agar semua pengarahnya meletak jawatan, Ahmad Jauhari berkata: "Fakta bahawa resolusi pelantikan semula pengarah-pengarah diluluskan oleh pemegang saham, ini menunjukkan sesuatu yang bertentangan.

"Anda harus faham, ada satu atau dua kenyataan yang sangat marah, tetapi apabila kami minta mereka undi, mereka meluluskan resolusi berkenaan."

Dalam mesyuarat lima jam itu, pemegang saham MAS meluluskan semua resolusi termasuk fi semua pengarah, tetapi semua sembilan pengarah bukan eksekutif mengambil keputusan memulangkan fi berjumlah RM396,000 itu.



Artikel Lain