suria

PKS Disaran Terima Pakai E-Dagang Untuk Tingkat Daya Saing

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS)  tempatan harus menerima pakai e-dagang untuk meningkatkan daya saing dengan semakin hampirnya penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC), kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim.

Hafsah berkata, dalam dunia yang dipacu oleh pembangunan teknologi terbaharu, perusahaan di rantau ini, termasuk di Malaysia, mestilah menggunakan e-dagang.

"Ini bukan sahaja akan menjimatkan masa dalam menjalankan urus niaga, malah e-dagang akan juga meningkatkan kecekapan operasi perniagaan kecil dan membolehkannya menyediakan perkhidmatan kepada asas pelanggan yang lebih besar.

"Ini dianggap amat penting kerana Malaysia akan menjadi pengerusi Asean, dengan AEC dijadualkan diisytiharkan menjelang akhir 2015 pada Sidang Kemuncak Asean nanti.

"Memandangkan AEC bergerak ke arah sebuah pasaran dan pangkalan pengeluaran tunggal, PKS di Malaysia perlulah meningkatkan pertaruhan masing-masing," katanya pada bengkel bertajuk "Leveraging E-commerce to Help SMEs Reach New Markets (Memanfaatkan E-dagang untuk Membantu PKS Memasuki Pasaran Baharu)" di sini, Selasa.

Sambil merujuk Banci Ekonomi 2011, beliau berkata PKS menyumbang 97.3 peratus atau 645,136 daripada keseluruhan pertubuhan syarikat di Malaysia.

Menjelang 2020, kerajaan bercita-cita untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada 25 peratus daripada eksport negara ini, dan 41 peratus keluaran dalam negara kasar, daripada masing-masing 19 peratus dan 32 peratus sekarang.

Sementara itu, SME Corp berkata, hingga 30 April, 2014, sejumlah 26,285 terminal e-pembayaran bagi "dongle transaksi tanpa tunai" telah digunakan, yang memberi manfaat kepada 18,206 PKS.

Dongle yang dilancarkan dalam suku keempat 2012 itu ialah pembaca kad kecil yang dimasukkan ke dalam bahagian bawah telefon pintar atau peranti tablet.

Apabila berlaku transaksi perniagaan, kad kredit atau debit akan diletakkan dalam pembaca kad itu dan perincian item atau perkhidmatan yang dibeli akan diproses. Melaluinya transaksi kewangan akan dimuat naik ke dalam telefon pintar atau tablet yang digunakan.

Ia adalah inisiatif SME Corp yang bertujuan menggalakkan PKS menerima e-pembayaran. 


Artikel Berikut

Artikel Lain