suria

Halim Saad Bina Loji Metanol AS$700 Juta

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (belakang, kiri) bersama Perdana Menteri Kazakhstan, Karim Massimov (belakang, kanan) menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian antara Pengerusi Markmore Sdn Bhd, Tan Sri Halim Saad (kiri) dengan Gabenor Wilayah Mangystau, Kazakhstan, Aidarbayev Alik Serkovich pada majlis menandatangani perjanjian di pejabat Perdana Menteri Kazakhstan sempena lawatan rasmi tiga hari ke Astana di sini, pada Jumaat.

ASTANA: Tan Sri Halim Saad, melalui syarikat milik penuhnya, Markmore Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian kerangka kerja dengan Pentadbiran Wilayah Mangystau di Kazakhstan untuk membina loji metanol bernilai US$700 juta di Kuryk.

Pemeteraian perjanjian itu dengan Gabenor Wilayah Mangystau, Aidarbayev Alik Serkovich, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Kazakhstan Karim Massimov di sini pada hari Jumaat.

Pada majlis yang sama, dua syarikat Malaysia yang lain turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan sepakatan Kazakhstan masing-masing disaksikan Najib dan Massimov.

Kenmakmur Holdings Sdn Bhd menandatangani perjanjian kerangka kerja dengan Pentadbiran Wilayah Mangystau untuk membangunkan loji pengekstrakan cecair gas asli (loji NGL) bernilai US$100 juta di Kuryk.

Sementara itu, Agrostan Farms Sdn Bhd, menandatangani MoU dengan Pentadbiran wilayah Zhambyl untuk memajukan penternakan haiwan dengan objektif memperkenalkan sekurang-kurangnya 500 ladang penternakan lembu mengikut standard antarabangsa di rantau ini.

Ketiga-tiga projek berkenaan, yang akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat Malaysia, bernilai US$1.1 bilion dalam jumlah pelaburan.

Halim berkata loji metanol itu yang dijangka siap pada 2017, merupakan usaha utama memanfaatkan rizab gas terbesar dalam lapangan Rakushechnoye, yang dimiliki Markmore Group, melalui anak syarikat milik penuh Kazakhstan, CaspiOilGas LLP.

Rizab gas di medan minyak itu kini dianggarkan pada 535 bilion kaki padu.

"Kami tidak lagi mempunyai pilihan untuk memanfaatkannya dari segi kewangan, dan dapati bahawa pengeluaran metanol adalah pilihan yang paling berdaya maju bagi kami. Sebagai kimia asas bagi pelbagai produk dan aplikasi, metanol adalah satu daripada lima bahan kimia utama yang diniagakan di peringkat global mengikut jumlah dan ia mempunyai pertumbuhan permintaan yang kukuh.

"Pasaran boleh dicapai dengan mudah melalui rangkaian kereta api yang luas di negara-negara bekas Kesatuan Soviet," katanya.

Pengeluaran minyak dari medan minyak Rakushechnoye dijangka mencapai lebih daripada 2,000 tong sehari menjelang Disember tahun ini dan akan meningkat tiga kali ganda dalam dua tahun.

Sementara itu, loji NLG Kenmakmur, yang bakal siap dalam tempoh dua tahun, akan memproses gas asli dari medan minyak Rakushechnoye.

Ia akan mengekstrak gas asli cecair dan nafta daripada gas sebelum menghantar gas kering sebagai bahan mentah ke loji metanol sedang dibangunkan oleh Markmore Group.

Loji itu akan mempunyai kapasiti pemprosesan sebanyak 100 juta kaki padu standard gas asli setiap hari. Pengeluaran gas dijangka bermula pada 2017 setelah pengeluaran minyak meningkat melangkaui 6,000 tong sehari.

Pengarah Eksekutif Kenmakmur James Chan berkata rizab gas terbesar di Rakushechnoye boleh membawa banyak nilai kepada Sumatec Resources Bhd, yang mengendalikan medan minyak itu.

Chan berkata pada masa ini, rizab gas hanya dari bahagian utara medan itu, yang mewakili 10 peratus daripada jumlah kawasan tersebut, dan terdapat potensi bagi bahagian selatan untuk mempunyai rizab minyak dan gas yang lebih tinggi.

Agrostan Farms diwakili oleh Pengarahnya Tunku Datuk Ya'acob Tunku Tan Sri Abdullah pada majlis itu pemeteraian perjanjian itu.

Ladang-ladang ternakan projek pembiakan bagi pengeluaran daging lembu itu juga bertujuan untuk meningkatkan potensi genetik lembu ke tahap piawaian antarabangsa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Datuk Dzulkifli Mahmud berkata pemeteraian MoU tersebut membuka jalan kepada lebih banyak sinergi dan kerjasama antara perusahaan perniagaan dari kedua-dua negara.

Syarikat-syarikat Malaysia, katanya, boleh menggunakan Kazakhstan sebagai pintu masuk ke rantau Asia Tengah.

Kesatuan Ekonomi Eurasia (EEU) yang terdiri daripada Rusia, Belarus dan Kazakhstan dengan gabungan penduduk sebanyak 170 juta orang, merupakan pasaran yang menarik bagi syarikat Malaysia untuk diterokai.

Gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar negara-negara ini adalah kira-kira US$ 2.2 trilion.

Dzulkifli berkata syarikat-syarikat Kazakhstan mengharapkan teknologi terkini dalam pembinaan, minyak dan gas, francais, pendidikan dan perkhidmatan perundingan profesional.

MATRADE, kata beliau, akan membuka pejabat di Almaty, bekas ibu negara Kazakhstan, pada suku ketiga tahun ini.


Markmore

Artikel Lain