suria

“Ingatkan gaji RM10,000 dah mampu” - Tauke tudung bawal menyesal beli Vellfire, terbeban bayar hutang bank

Ain mengakui kos penyelenggaraan Toyota Vellfire miliknya mencecah RM3,000 sebulan.

BAGI sesetengah orang kenderaan sekadar alat pengangkutan yang memudahkan pergerakan dari satu destinasi ke destinasi lain.

Namun bagi segelintir yang lain pula, kenderaan diklasifikasikan sebagai lambang kemewahan hingga memilih untuk mengeluarkan perbelanjaan tinggi setiap bulan bagi mencapai kepuasan.

Bagaimanapun menerusi sebuah video seorang wanita tampil menceritakan tentang realiti sebenar tentang penggunaan kenderaan mewah walaupun memiliki pendapatan RM10,000 sebulan.

Rakaman tersebut turut memaparkan kenderaan jenis Toyota Vellfire miliknya dibawa menggunakan lori tunda di samping kapsyen 'belum mampu lagi'.

Toyota Vellfire dibeli atas namanya sendiri sejak dua tahun lalu.

Toyota Vellfire dibeli atas namanya sendiri sejak dua tahun lalu.

Malah pemilik akaun Aien Suraya itu turut menyatakan pada awalnya dia terasa seperti mampu memiliki kenderaan mewah tersebut kerana begitu meminatinya.

Pun begitu, akhirnya merasakan ia bukanlah keperluan.

"Itulah silap Ain, ingatkan gaji RM10,000 sudah cukup nak pakai 'gajah' ni. Rupanya sampai masa terbeban nak bayar RM3,000 sebulan.

"Mula-mula memang rasa mampu sebab tengah dilamun cinta... percayalah sampai masa kita akan rasa benda ni tak perlu pun sebenarnya," luahnya di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan kerja gomen cerai-berai gara-gara hutang! Terpengaruh budaya tunjuk hidup mewah sesama ‘officemate’

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah diusir, dipulaukan tetangga! Penduduk ketakutan Ah Long ugut minta langsai hutang anak jiran, tiba-tiba kena jadi penjamin

Baginya, kenderaan yang selesa untuk sampai ke destinasi sudah mencukupi supaya tidak terjerat hutang.

"Cukup ada kenderaan yang selesa untuk sampai ke destinasi. Dengar nasihat Ain ni tau supaya tidak terjerat hutang," katanya lagi.

Berkongsi kisah kepada mStar, Nurul Ain Farihah memberitahu, perkongsiannya itu adalah sekadar memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terlampau 'taksub' untuk memiliki kenderaan mewah sehingga akhirnya tidak mampu membayar komitmen bulanan.

Mana tidaknya, kos bulanan yang terpaksa dikeluarkan untuk kereta mewah seperti Toyota Vellfire adalah sekitar RM3,000 sebulan dan kadang kala lebih apabila perlu diselenggara.

Ain menjalankan bisnes tudung bawal sejak 2016.

Ain menjalankan bisnes tudung bawal sejak 2016.

"Bayangkan setiap hari kena isi minyak RM50. Itupun jika tidak digunakan untuk berjalan-jalan, kalau tidak... kosnya lebih lagi.

"Servis pun kadang-kadang lebih, atas nasib juga sebab rosak ni tak bagi 'salam' dahulu," ujarnya yang merupakan pemilik perniagaan tudung Bawal BTE.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini lagi, menggunakan kereta model biasa adalah lebih baik.

Dia yang memulakan bisnes pada 2016 berkata, sejak menggunakan Vellfire dua tahun lalu, barulah dia menyedari kos 'tersembunyi' yang perlu dibelanjakan.

Warga maya memberikan pandangan masing-masing tentang kenderaan mewah.

Warga maya memberikan pandangan masing-masing tentang kenderaan mewah.

"Jangan sebab nak bergaya, rela bebankan diri dengan komitmen yang sebegitu. Jangan terjerat... pakai kereta biasa, asal tak sakit kepala," luahnya yang kini berusia 29 tahun.

Pun begitu katanya, seperti rakaman video yang dimuat naik, keretanya bukanlah ditunda disebabkan gagal membayar ansuran bulanan sebaliknya untuk dihantar ke bengkel.

Video perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi warga maya dan kebanyakannya meluahkan kesulitan yang dialami selepas mengikut kehendak hati yang ingin kelihatan mewah.

"Saya pun rasa sekarang... pendapatan bisnes tak banyak pula beberapa bulan ni, terasa betul beban bayar kereta.

"Faham! Suami pun gaji lebih tinggi tak berani ambil, nak bayar mampu tapi nak konsisten tu sakit... kami teruskan pakai kereta buruk yang ada ni.

"Kereta 'peti sejuk' ni maintenance tinggi. Dari segi keselesaan menang pada aksesori, kalau nak kira selesa... biasa macam van HiAce saja," ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain