suria

Jurugambar pelik pengantin tak tuntut album kahwin, mesej tak pernah balas... Rupanya berkabung sehari selepas majlis sanding

Ajal boleh menjemput seseorang itu pada bila-bila masa sahaja. -Gambar hiasan

HARI bahagia boleh bertukar duka dengan sekelip mata jika itu yang tertulis oleh takdir.

Begitulah kisahnya untuk seorang jurugambar ini tatkala berdepan seorang pelanggan hingga mengubah perspektifnya tentang kehidupan dan orang sekeliling.

Melalui satu perkongsian di Twitter, lelaki yang dikenali sebagai Iffat Salleh berkongsi pengalaman ketika menjadi jurugambar perkahwinan untuk sepasang pengantin pada tahun 2011.

Perkongsian asal di Twitter.

Ujar Iffat urusannya bersama klien berkenaan pada mulanya berjalan lancar sehinggalah berlaku sesuatu yang tidak disangka-sangka.

"Aku shoot gambar semua macam biasa. Kemudian aku siapkan design album, dan editing ambil masa dalam dua minggu. Itu prosedur operasi standard (SOP) aku.

"Apabila album dah siap, aku hubungi klien. Tak ada respons! Aku dah mula risau. Aku sangka baik mungkin tengah sibuk, biar je la dulu. Aku selesaikan album klien dulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta tapi takut nak beritahu mak ayah, gadis minta BF berlakon jadi jurugambar konvo! Reaksi ‘diam’ selepas pertemuan jadi tanda tanya

ARTIKEL BERKAITAN: Jurugambar mengeluh ada halangan, gangguan tak patut wujud ketika rakam detik bersejarah pengantin

"Sebulan kemudian, aku cuba hubungi semula klien. Aku tanya bila kita boleh berjumpa untuk tengok album. Masih senyap. Alahai, aku dah mula fikir macam-macam.

"Kalau klien tak bayar tak apa lagi, tapi kalau tak ambil terus lagi sedih, penat-penat buat akhirnya jadi penyendal buku di almari aku je," kata Iffat membuka cerita.

Setelah sekian lama menyepi, satu mesej daripada klien berkenaan menerjah masuk ke dalam telefon pintarnya.

Mulai hari tu, aku shoot banyak gambar keluarga dan suasana berbanding gambar pengantin tu sendiri.

IFFAT SALLEH

"Beberapa bulan selepas itu tiba-tiba klien tu ajak aku jumpa. Dia kata dia dah bersedia untuk tengok album. Aku bergegas kemas album dan terus berjumpa di lokasi yang dijanjikan.

"Masa jumpa, mereka berdua gembira melihat gambar dan album. Tapi sampai di satu page, pengantin perempuan tiba-tiba menangis. Aku pun tanya si suami kenapa tu.

"Rupanya sehari selepas majlis kahwin hari tu, ayah isteri meninggal dunia. Besi tertusuk di kepala. Sebab tu mereka ambil masa lama nak balas.

Suasana meriah adalah apa yang menjadikan suatu majlis perkahwinan itu istimewa. -Gambar hiasan

"Aku jadi tergamam, terkejut dengar. Sedangkan masa kahwin si ayah yang paling happy," kata Iffat tidak menyangka dengan apa yang terjadi.

Si suami kemudiannya sempat mengucapkan terima kasih kepada Iffat kerana merakam memori terakhir mereka bersama ahli keluarga yang kini hanya tinggal kenangan.

"Dia cakap terima kasih sebab ambil banyak gambar ayah mereka dan letak dalam album. Itulah kenangan terakhir mereka dengan ayah.

"Isteri dia ada cakap yang waktu hari majlis, ayah mereka pakai baju Melayu warna berkilat dan warna merah jambu.

Ahli keluarga dan saudara-mara akan dijemput ke kenduri kahwin untuk menjadi sebahagian dari memori. -Gambar hiasan

"Sebelum ni tak pernah pun pakai macam tu, mungkin itulah petanda.

"Aku pun diam je apabila dengar apa yang berlaku, masa tu aku masih student, tak tahu cara nak tenangkan orang," kata Iffat.

Bermula daripada insiden itu, Iffat mempelajari sesuatu dan mengubah cara kerjanya untuk mengambil lebih banyak gambar suasana ketika hari istimewa.

"Mulai hari tu, aku shoot banyak gambar keluarga dan suasana berbanding gambar pengantin tu sendiri. Kerana itu yang lebih penting.

"Apabila fikir balik, kalau aku buka semula album kahwin aku, aku akan tunjuk dekat anak aku lebih banyak gambar keluarga.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

"Aku akan cakap ni acu masa kurus dulu, ni tokpa masa gemuk dulu, ni tok ayah tak ada gigi," ujar Iffat.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, seorang warga maya mengatakan kebanyakan pasangan mempelai mahukan lebih banyak gambar mereka dimasukkan ke dalam album.

"Aku ada tengok gambar kahwin kawan, aku tengok semua gambar pengantin je, cuma berbeza posisi badan. Selak belakang, baru jumpa gambar lain-lain," katanya.

"Pengantin bayar, sudah tentu dia nak muka dia banyak. Kita sebagai jurugambar kena mainkan peranan untuk educate.

"Kalau lebih baik, jika ada bajet lebih, ambil dua jurugambar, satu untuk pengantin dan satu fokus untuk keluarga. Kenangan tu yang mahal," balas Iffat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain