suria

Selepas hampir 2 tahun, satu-satunya mangsa terselamat kes keracunan gas dalam kereta dedah apa sebenarnya berlaku

Empat gadis ini merupakan kawan baik dan sama-sama belajar di sebuah kolej perubatan swasta di Selangor.

TRAGEDI melibatkan empat sahabat baik yang keracunan karbon monoksida pada September 2020 sehingga mengorbankan tiga daripada mereka kembali tular di media sosial baru-baru ini.

Kisah menyayat hati yang berlaku di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth itu melibatkan empat pelajar kolej perubatan swasta di Selangor yang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis kisah 4 rakan baik... 3 maut akibat keracunan karbon monoksida, seorang kritikal

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis kisah 4 sahabat... mangsa terakhir keracunan karbon monoksida semakin stabil

Selepas kejadian yang berlaku lebih setahun lalu itu, satu-satunya mangsa yang terselamat, Nor Aqilah Mohd Safwan, 23, tampil untuk berkongsi kronologi kejadian dan apa yang berlaku pada malam itu berdasarkan apa yang diingatinya.

Menurut Nor Aqilah, pada masa itu mereka sama sekali tidak tidur di dalam kereta jenis Honda Odyssey yang dinaiki dengan enjin tidak dimatikan seperti mana yang dilaporkan atau digembar gemburkan sebelum ini.

"Kami stop kejap sebab nak beli makanan je. Tak ada pun cakap letih nak tidur.

"Saya turun (dari kereta) sebab tak cukup tangan nak bawa banyak barang, tinggal kakak seorang dalam kereta.

"Lepas masuk kereta ada borak kejap lepas tu tak ingat dah," Nor Aqilah menceritakan semula apa yang berlaku pada malam kejadian menerusi video di TikTok.

Mengimbas detik sebelum kejadian, katanya, mereka bergerak pulang jam 8 malam dan berhenti di stesen minyak Shell pada jam 8.40 malam sebelum dua sahabatnya, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri turun untuk membeli makanan dan pada masa sama kembarnya, Nor Adilah yang memandu kekal dalam kereta dan mengadu pening.



Tangkap layar perbualan terakhir mereka pada malam kejadian di aplikasi WhatsApp.

Menurut Nor Aqilah, momen setelah memasuki kereta sejurus membeli makanan di stesen minyak tersebut adalah perkara terakhir yang diingatinya dan dia turut berkongsi tangkap layar perbualan terakhir sesama mereka di WhatsApp.

"Lepas ambil makanan terus masuk kereta untuk makan dan kami ada borak kejap. Masa tu saya rasa pening yang terlampau sangat saya letak makanan dan terus bersandar.

"Lepas tu terus saya tak sedar, bangun buka mata je dah ada kat katil hospital, seminggu kat ICU (Unit Rawatan Rapi) memang tak tahu apa-apa," tulisnya Nor Aqilah yang kini sudah mendirikan rumah tangga.

Saya sedar dan buka mata masa tu, saya dah ada dekat katil hospital.

NOR AQILAH

Tambah Nor Aqilah yang ketika itu mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin di Kuala Lumpur, dia hanya mengetahui tentang kakak serta dua sahabatnya sudah tiada ketika berada di wad biasa.

"Bila saya turun ke wad biasa, mak ayah bagitahu tentang kejadian tu dekat saya.

"Ada yang tanya punca kejadian. Menurut forensik ada gas bocor cuma kami tak perasan sebab tak ada bau dan tanda-tanda.

"Apa pun berserah dengan takdir, semua dah tertulis di luh mahfuz, Al-Fatihah untuk sahabat syurga saya," tulisnya.



Nor Aqilah kini sudah mendirikan rumah tangga.

Dalam kejadian pada 16 September 2020 itu, empat sahabat berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta yang enjinnya masih terpasang oleh bapa Ayuni Shazwani kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Bapa Ayuni Shazwani dikatakan keluar mencari anaknya itu selepas bimbang mangsa masih tidak sampai di rumah pada 11 malam selepas menghantar mesej kepada ibunya jam 9.15 malam.

Sharifah Fariesha disahkan meninggal dunia di dalam kereta, manakala Ayunie Shazwanie maut ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Nor Adilah pula meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada keesokan hari.



Aqilah tidak sedarkan diri selama seminggu sebelum dia mendapat berita tentang kematian kembar dan dua sahabatnya.

Laporan bedah siasat yang diterima polis berhubung tiga sahabat yang meninggal dunia dalam kejadian itu adalah disebabkan terhidu gas karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ berfungsi.

Pemeriksaan juruteknik juga mendapati kenderaan dinaiki empat sahabat berkenaan mengalami kebocoron di bahagian ekzos kereta dan mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain