suria

Lelaki ini buat keputusan drastik berhenti kerja untuk jadi homebaker, pertaruh gaji terakhir beli alatan terpakai - “Pelanggan pernah dapat 10 biji kek berkulat”

Edy nekad berhenti kerja dan menggunakan gaji terakhir sebagai modal untuk memulakan perniagaan bakeri yang kini sudah menampakkan hasil.

UNTUNG sabut timbul, untung batu tenggelam.

Siapa sangka, keputusan drastik untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan telah membuka jalan kepada lelaki ini untuk berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Kini, perniagaan bakerinya telah berkembang selepas tiga tahun mengusahakannya. Lelaki ini gemar berkongsi kisah perjalanan perniagaannya menerusi video yang dimuat naik di Instagram dan TikTok.

Video-videonya telah meraih perhatian ramai dengan mendapat lebih dari 100,000 tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuti tanpa gaji, jejaka ini tak kekok buka gerai kopi Vietnam... tak sangka sold out, siap ada bagi sumbangan - “Sebenarnya isteri minat kopi”

Cerita Edy atau nama sebenarnya Ahmad Edy Nor, tindakan berani untuk berhenti daripada pekerjaannya sebagai 'team leader' dalam bidang IT di DHL Express sememangnya satu keputusan yang tepat.

“Sebenarnya saya seorang yang suka makan. Saya selalu bayangkan bagaimana para peniaga menyediakaan makanan dan buat kek, tiba-tiba muncul idea nak usahakan perniagaan bakeri. Dari situ terhasilnya Edy’s Baked & Food,

edy

Eddy bersyukur keputusannya meninggalkan pekerjaan lama untuk memulakan perniagaan mendatangkan hasil.

“Mujur ibu mentua saya pernah buat bisnes ni, jadi lebih mudah untuk saya belajar selok belok tentang bakeri. Sebelum mulakan perniagaan, saya ke kelas belajar tentang bakeri dan perniagaan.

“Dari situ timbul keyakinan untuk memulakan perniagaan walaupun ketika itu hanya bermodalkan gaji terakhir saya sebanyak RM6,000 sebelum berhenti kerja,” katanya ketika dihubungi mStar.

Ditanya adakah dia berfikir tentang risiko yang bakal dihadapi selepas membuat keputusan tersebut, usahawan berusia 46 tahun ini berkata dia sudah bulat hati dan nekad dengan keputusan yang dibuat.

“Saya betul-betul nekad. Ada juga saya fikir tentang kerugian tapi saya serahkan semua itu kepada Allah, yang penting saya perlu usaha sampai berjaya. Alhamdulillah selepas tiga tahun, perniagaan kek saya pun semakin berkembang. Kini seluruh Malaysia boleh rasa air tangan saya," katanya yang membuat kek dan cookies di kediamannya di Desa Hartamas, Kuala Lumpur.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mengimbau kenangan awal memulakan perniagaan, bapa kepada dua cahaya mata ini berkata kesemua barangan yang dibeli untuk memulakan perniagaan adalah barangan terpakai.

“Masa mula berniaga, semua barang saya beli dari kedai terpakai. Namun saya bersyukur masa mula berniaga ramai yang membantu. Ada yang beri freezer, ada yang tolong promote di media sosial dan ada yang mengatur kemunculan saya di beberapa rancangan di televisyen," cerita Edy.

IMG-2265

Edy menjalankan perniagaan hanya dari kediamannya.

Di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada seorang wanita yang menjadi pendorong semangat. Menurut Edy, tanpa sokongan isterinya Hasleena Hamzah,40, dia tidak akan mencapai kejayaan hari ini.

“Isteri saya banyak bantu dalam perniagaan lebih-lebih lagi dalam bahagian marketing. Saya tak berapa pandai sangat guna media sosial, selalunya isterilah yang akan uruskan. Dialah jurugambar, dia juga yang tolong saya buat kek.

“Buat masa sekarang saya belum pernah lagi ambil pekerja. Isteri dan ibu mentualah yang banyak tolong. Kadang-kadang anak-anak pun turut bantu tapi kena beri upah dulu,” seloroh Edy.

Setakat ini, Edy mampu menghasilkan 120 biji kek sehari dan dia gembira kerana air tangannya sudah boleh dijual ke seluruh Malaysia. Dia bersyukur kerana perniagaan kek yang dijalankan mendapat pulangan yang lebih tinggi berbanding ketika bekerja dahulu.

Impian saya memang nak satu Malaysia rasa kek saya.

AHMAD EDY NOR

USAHAWAN

Bagaimanapun Edy mengakui setiap perniagaan pasti ada jatuh bangun. Begitu juga dengan perniagaan yang dijalankannya.

“Nak kata rugi tu tidaklah rugi sangat, saya pun masih baru. Tapi ada beberapa peristiwa yang pernah berlaku dan saya masih ingat. Sewaktu saya pos kek kepada pelanggan, ada 10 biji kek yang ada kulat. Terpaksa return semula kek tu,

"Ada juga yang pernah order 3,000 kotak cookies, tapi last minute dia kurangkan order kepada 2,500 je. Saya anggap tiada rezeki, tapi rupa-rupanya ada rezeki lain yang datang. Hari yang sama, saya terima 2,000 tempahan loaf daripada pelanggan lain.

"Kadang-kadang memang rasa down juga bila berniaga. Perasaan ni lebih kurang sama macam bekerja dengan orang. Ada hari kita akan okay, ada hari pula kita sebaliknya. Bezanya kalau berniaga sendiri tanpa usaha memang memang tiada hasil.

"Pengalaman mendapat tempahan kek daripada Muzium Sultan Abu Bakar, Pahang untuk Raja dan Permaisuri antara satu kenangan yang manis. Kami diminta untuk menghantar kek ke sana. Saya bertolak dari Kuala Lumpur jam 3 pagi. Malam tu memang tak boleh tidur sebab risau,

"Sebelum hantar kek saya berhenti sebentar di stesen minyak untuk mengemas semula hiasan kek. Perasaan risau tu hanya Allah yang tahu tapi dalam masa yang sama saya gembira," katanya.

Ditanya mengenai perancangan akan datang, Edy menjelaskan dia tidak akan selamanya menjadi seorang pembuat kek.

"Saya ada juga belajar ilmu perniagaan sebab takkan selama-lamanya saya nak jadi homebaker saja. Kalau boleh saya nak produk saya masuk retail, itu salah-satu sasaran saya selepas ini," cerita Edy.

IMG-2298

Antara menu kek dan kuih yang dijual oleh Edy.

Pesan Edy sebelum menutup perbualan, setiap orang perlu bermula dengan apa yang dimiliki dan perlu rangka impian yang besar untuk mencapai sesuatu.

"Jangan tunggu-tunggu, buat sahaja apa yang kita nak buat.Jangan pernah putus asa, ini kunci utama," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain