suria

Pasangan ini dapat ‘port baik’ bawah jambatan selepas ‘bergelut’ cari line internet nak jawab exam! Berdebar nampak polis, sekali makcik yang muncul di tingkap

Foto kiri Luqman menjawab peperiksaan dalam kereta di bawah jambatan, foto kanan Luqman bersama Hasanah.

'TAK ada line' boleh mencetuskan suasana panik ketika tempoh mod pembelajaran terbuka dan jarak (ODL).

Begitulah yang dialami seorang pemuda yang terpaksa menghadapi peperiksaan akhir dalam situasi yang tidak disangka-sangka.

Menerusi satu video yang dikongsi di aplikasi TikTok, pemuda itu kelihatan menjawab kertas peperiksaan dalam kereta yang diletakkan di bawah jambatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak sambut anniversary ke-26 mak ayah, gadis ini buat kejutan hadiahkan Anugerah Dekan 5 Semester berturut-turut - "Dulu cuma 4A"

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tak merungut siapkan tugasan... bersenam di mana saja, termasuk di wad Covid-19! - "Pensyarah dah beri pelepasan"

Pemuda berkenaan, Muhammad Luqman Mohd Nor memberitahu, insiden berlaku pada pagi Ahad lalu ketika menjawab kertas akhir bagi jurusan Kejuruteraan Bioperubatan.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor itu berkata, liputan Internet tidak begitu baik untuk mengikuti ODL dari kediaman mereka di Kampung Dusun, dekat pekan Kuala Berang di Terengganu.

"Disebabkan line Internet di rumah selalu tak okay, saya dan isteri yang juga pelajar UTM perlu ke pekan Kuala Berang sejauh kira-kira 10 kilometer untuk mencari line bagi mengikuti peperiksaan online dari dalam kereta.

"Exam bermula pukul 9 pagi, jadi saya dah bertolak seawal 7 pagi pergi dekat satu padang di pekan sebab kat situ line Internet selalunya okay," katanya yang berusia 23 tahun kepada mStar.

Pada hari berkenaan, Luqman berkata, dia ditemani isterinya, juga berusia 23 tahun yang memandu kereta, dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk ke pekan Kuala Berang.

jawab exam bawah jambatan 5

Luqman mempunyai pengalaman mengikuti ODL dalam kereta.

Bagaimanapun katanya, liputan internet secara tiba-tiba terjejas sehingga menyukarkannya untuk menggunakan platform maya Webex bagi mengikuti peperiksaan.

"Masa tu pukul 8.30 pagi, kira-kira setengah sebelum exam nak mula. Nak masuk Webex tak boleh. Jadi kami pusing-pusing sekitar pekan Kuala Berang untuk cari line.

"Dah pukul 9 pagi masih tak dapat line, saya terpaksa beritahu pensyarah ada kelewatan sebab nak cari line. Memang nervous masa tu," katanya yang berasal dari Kuala Terengganu.

Disebabkan line internet di rumah selalu tak okay, saya dan isteri perlu ke pekan Kuala Berang sejauh kira-kira 10 kilometer untuk mencari line bagi mengikuti peperiksaan online dari dalam kereta.

LUQMAN

Menurut Luqman, rangkaian Internet kembali pulih sewaktu isterinya memandu kereta melalui lorong kecil berdekatan sebuah taman rekreasi di pekan.

"Isteri saya berhenti tepi lorong untuk saya mulakan exam, masa tu dah pukul 9.15 pagi. Saya jawab exam atas meja lipat yang diletakkan atas riba, dari tempat duduk penumpang hadapan.

"Saya guna telefon untuk Webex sebab boleh cas dalam kereta, tapi standby dengan laptop. Saya jawab pada kertas jawapan yang kemudian scan sebelukm dihantar kepada pensyarah.

"Bila dah selesai jawab exam tu saya rasa lega teramat sangat, Alhamdulillah," katanya yang menduduki peperiksaan bagi subjek System Modelling and Analysis selama kira-kira tiga jam.

jawab exam bawah jambatan 4

Hasanah turut mengikuti kelas dalam talian.

Sementara itu, isteri Luqman iaitu Nur Hasanah Sariddon pula berkata, sepanjang tempoh kira-kira tiga jam itu juga dia setia menemani suaminya.

"Pengalaman kami dalam kereta bawah jambatan tu memang mendebarkan sebab ada kereta peronda polis lalu, mujur tak berhenti tanya. Tapi kami ada alasan suami tengah jawab exam.

"Tapi paling kelakar apabila ada makcik cleaner yang kutip sampah di kawasan sekitar. Kawasan tu agak sunyi dan makcik tu tengok-tengok kereta kami dari jauh," katanya.

jawab exam bawah jambatan 3

Luqman (kanan) dan Hasanah ke pekan Kuala Berang untuk mencari rangkaian Internet yang baik.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer itu berkata, pekerja pembersihan itu kemudian secara tiba-tiba muncul di tepi kereta mereka yang diparkir di bawah jambatan.

"Terkejut saya bila makcik tu tiba-tiba muncul tepi tingkap kereta. Mungkin cermin kereta kami sedikit gelap membuatkan makcik tu datang dekat nak tahu apa yang kami buat.

"Agaknya mesti dia tertanya-tanya dari jauh apa yang kami buat. Yelah, tentu pelik nampak berdua-duaan dalam kereta kat tempat sunyi, orang luar boleh fikir yang bukan-bukan.

"Tapi itulah pengalaman ODL ni, cabaran kami cari line sampai pusing-pusing satu pekan," ujar Hasanah secara berseloroh.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain