suria

Ketepi trauma handphone diragut, rider GrabFood tetap settle misi hantar order... siap dapat hadiah walau tak kenal - “Kerja ni ibarat kita di medan perang… ”

Sikap Muhammad Hilmi mendapat pujian netizen selepas kisahnya tular di media sosial malam Selasa lalu.

PROFESION sebagai penghantar makanan bukan tugas mudah apatah lagi saban hari banyak insiden tidak diingini menimpa golongan tersebut.

Terbaharu tular insiden telefon bimbit seorang penghantar makanan diragut ketika sedang bertugas malam Selasa lalu.

Namun sikap bertanggungjawab penghantar terbabit yang tetap menghantar makanan kepada pelanggan meskipun ditimpa musibah mendapat pujian netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider tergamam berdepan ‘kebaikan manusia’, lebih touching kejutan dibuat pelanggan Cina... satu keluarga dapat makan free!

ARTIKEL BERKAITAN: Tangan kena bom, rider kudung terpaksa panggil pelanggan angkat pesanan sendiri - “Macam mana you bawa motor?”

Kisah menimpa Muhammad Hilmi Othman, 44, menjadi tular selepas perkara itu dikongsi seorang sahabat kepada pelanggannya di Facebook malam Selasa lalu.

Paparan skrin aplikasi GrabFood yang dikongsi seorang pelayar di Facebook.

Rata-rata netizen kagum dengan sikap dedikasi dan bertanggungjawab penghantar makanan itu dalam menjalankan tugasnya.

Muhammad Hilmi ketika dihubungi mStar berkata insiden berlaku ketika dia masuk ke persimpangan jalan menuju ke kawasan perumahan pelanggan tersebut dekat Damai Impian 2, Cheras.

"Masa tu keadaan agak sunyi. Bila nak masuk satu simpang naik bukit sikit tak jauh dari rumah customer tu tiba-tiba sebuah motosikal datang rapat.

"Lepas tu terus telefon saya diragut, semuanya berlaku dengan pantas. Waktu tu memang panik jugalah. Saya try kejar tapi tak dapat. Saya pun patah balik," katanya.

Mengakui masih lagi terkejut dengan insiden menimpanya, Muhammad Hilmi berkata dia kemudian meminjam telefon bimbit seorang pengawal keselamatan dekat kawasan perumahan terbabit.

Antara komen netizen di Facebook.

"Masa tu saya tak terfikir nak buat laporan polis. Saya hanya fikir nak hantar order customer.

"Saya pun pinjam telefon bimbit seorang guard dan call GrabFood Centre minta alamat customer saya.

"Saya ke rumah customer dengan bantuan guard tersebut. Alhamdulillah order tu pun sampai ke tangan dia," katanya.

Saya rasa sikap tu terbawa-bawa sampai sekarang. Saya masih ingat lagi cikgu masa kursus ada beritahu, kerja ni ibarat kita berada di medan perang. Apa-apa kena selesaikan misi dulu

MUHAMMAD HILMI OTHMAN

Penghantar makanan

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia terpanggil untuk menyempurnakan tugasnya kerana menganggap ia sebagai satu amanah.

"Sebelum jadi rider GrabFood saya bekerja sebagai pemandu pelancong. Masa dalam kursus dulu memang saya dan kawan-kawan dilatih tentang tanggungjawab.

Muhammad Hilmi bersama anak sulungnya.

"Saya rasa sikap tu terbawa-bawa sampai sekarang. Saya masih ingat lagi cikgu masa kursus ada beritahu, kerja ni ibarat kita berada di medan perang. Apa-apa kena selesaikan misi dulu," katanya.

Posting tersebut turut mendapat perhatian Gordon Yee yang simpati dengan nasib menimpa Muhammad Hilmi dan telah menghadiahkan sebuah telefon bimbit kepadanya.

"Saya tak kenal pun dia tapi bila baca posting tentang dirinya, saya rasa saya perlu lakukan sesuatu.

"Handphone amat penting untuk dia kerana itu punca rezeki dia. Buat GrabFood kena ada handphone, tak ada handphone tak ada duit.

"Lagipun saya ada handphone ekstra di dalam almari. Daripada tidak digunakan lebih baik saya hadiah kepadanya supaya dia boleh bertugas seperti biasa," katanya.

Gordon Yee menghadiahkan telefon bimbit kepada Muhammad Hilmi selepas simpati dengan nasib menimpanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hilmi turut berterima kasih kepada netizen yang prihatin dengan insiden menimpanya.

“Saya amat berterima kasih kepada Gordon Yee dan semua yang membantu saya. Rakyat Malaysia memang terbaik, semua datang membantu tak kira bangsa mahupun agama.

“Kisah saya tular pun sebenarnya disebabkan keprihatinan pelanggan saya. Tapi saya rasa ramai yang bersikap seperti ini cuma apa yang mereka lakukan tidak diuar-uarkan kepada umum, ” katanya yang bertugas sebagai rider GrabFood sejak awal Mac lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain