suria

Tangan kena bom, rider kudung terpaksa panggil pelanggan angkat pesanan sendiri - “Macam mana you bawa motor?”

Edmund (kanan) bergambar bersama Syahrain selepas selesai menghantar air pesanannya pada 1 Mei lalu.

“MACAM mana you bawa motor?”.

Itu antara pertanyaan seorang pemuda berbangsa Cina yang kagum melihat keadaan rider GrabFood yang berkebolehan menunggang motosikal walaupun kudung kedua-dua belah tangannya.

Perkara itu didedahkan rider tersebut, Syed Mohd Syahrain Syed Fadzil selepas seorang pemuda Cina dikenali sebagai Edmund Gan memuatnaik kisah tentang dirinya di Facebook sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Kudung terkena bom, jiwa kental Syahrain jadi perhatian setiap kali hantar makanan

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam perjalanan hantar order, rider nak menitis air mata baca notifikasi di telefon... terus berhenti tepi - “Sepanjang jalan rasa sejuk je...”

Menurut Syed Mohd Syahrain, dia terkejut apabila kisah mengenai dirinya menjadi tular semula di media sosial selepas perkongsian pemuda tersebut.

Syahrain aktif menyertai konvoi motosikal bersama rakan-rakannya.

“Memang saya terkejut, tak sangka dia buat posting tentang diri saya. Kalau ikutkan ni dah kali ketiga saya viral.

“Sampaikan ramai orang Cina mesej saya di Facebook dan Instagram. Ada cakap bahasa Inggeris, ada yang bahasa Cina.

“Ada juga yang tolong translate tapi ada juga saya pun tak faham apa mereka cakap. Tapi rata-rata meluahkan rasa kagum melihat semangat saya, ” katanya kepada mStar.

Mesra disapa Syahrain, pemuda berusia 26 tahun itu berkata dia terpaksa meminta bantuan Edmund untuk mengangkat minuman dipesannya kerana kafe kehabisan stok plastik pada hari tersebut.

“Disebabkan kehabisan plastik, staf Tealive bagi kotak untuk bubuh air. Jadi susah nak angkat. Masa tu staf Tealive yang tolong masukkan dalam beg (peti) GrabFood.

Syahrain bekerja sebagai rider GrabFood selama setahun.

“Bila sampai tu saya panggil customer minta dia tolong angkat. Bila dia keluar, dia macam pelik je tengok saya.

Start dari situ kami borak-borak. Ada dalam 10 minit jugalah. Dia tanya macam mana saya bawa motor. Lepas tu dia siap ambil gambar dengan saya, ” katanya.

Bagi Syahrain situasi itu bukanlah perkara baharu bagi dirinya.

Bagi saya tak susah cuma orang tengok je macam susah. Sebenarnya tak pun. Saya dah biasa dengan keadaan macam ni.

SYED MOHD SYAHRAIN SYED FADZIL.

Rider GrabFood.

“Saya dah biasa. Bila saya hantar pesanan terutamanya di kondo, customer akan pelik sekejap. Mereka tanya saya naik apa.

“Bila saya beritahu naik motor, mereka pun pelik. Selalunya mereka akan tanya macam mana saya bawa motosikal dalam keadaan macam ni.

“Tapi saya bersyukur kerana rata-rata customer faham keadaan saya. Alhamdulillah, ” katanya yang sudah bekerja sebagai rider GrabFood selama setahun.

Syahrain kehilangan kedua-dua tangannya akibat letupan bom ketika berusia sembilan tahun.

Mengenai keadaannya itu, anak jati Kampung Merbau Indah, Sungai Buloh itu berkata kedua-dua tangannya hancur selepas terkena letupan bom kira-kira 17 tahun lalu.

“Masa tu saya berumur sembilan tahun, saya terkena bom semasa bermain berhampiran Penjara Sungai Buloh.

“Saya tak tahu itu bom. Bila saya pegang je tiba-tiba meletup. Tangan saya hancur dan doktor terpaksa potong untuk elak jangkitan kuman, ” katanya.

Dalam pada itu, ditanya bagaimana dia mengawal motosikal dinaikinya, Syahrain berkata sukar untuk dia menjelaskan mengenai perkara itu.

“Susah saya nak jelaskan. Saya letak je pergelangan tangan dekat throttle motor (pemulas) kemudian tarik je. Macam tulah.

Syahrain tidak berdepan masalah mengendalikan motosikalnya.

“Kena tengok depan-depan. Saya pernah update video dekat Facebook cara saya bawa motor sebab ramai tanya.

“Bagi saya tak susah cuma orang tengok je macam susah. Sebenarnya tak pun. Saya dah biasa dengan keadaan macam ni, ” katanya.

Kisah Syahrain pernah disiarkan mStar kira-kira dua tahun lalu selepas video dia bekerja sebagai rider FoodPanda ketika itu mendapat perhatian netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Syahrain, kudung, rider, GrabFood, motosikal

Artikel Lain