suria

Gempar! Lebih 30 kerbau ‘Mowgli Malaysia’ mati mengejut, banyak lagi akan menyusul – “Syukur asyik menangis, kami buntu”

Muhammad Syukur sedih dengan kematian mengejut kerbau-kerbaunya. Foto Facebook Dallah Deen Photography

SIAPA tidak kenal seorang remaja lelaki yang begitu mesra dengan sekumpulan kerbau, malah beberapa haiwan lain di kampungnya di Kuala Terengganu, Terengganu.

Namun, wajah ceria Muhammad Syukur Khamis yang lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' itu kini bertukar duka apabila lebih 30 ekor kerbau peliharaan keluarganya di sebuah kandang di Kampung Banggol Katong, mati secara mengejut.

Bercakap kepada mStar, abang kepada Muhammad Syukur iaitu Muhammad Alias, 30, berkata, kejadian mengejutkan yang menimpa kerbau-kerbau itu berlaku Rabu minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Foto 'Mowgli Malaysia' menang lagi! Jurugambar buat pengakuan ikhlas cemburu dengan Syukur Khamis - "Dia bukan berlakon, memang ikhlas"

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar 'Mowgli Malaysia', Syukur impi miliki zoo sendiri

"Mula-mula seekor kerbau mati pada Rabu, selepas seekor lagi mati pada Khamis, dua ekor (Jumaat), empat ekor (Sabtu), 11 ekor semalam (Ahad).



Kematian kerbau peliharaan keluarga Muhammad Syukur bermula sejak Rabu lepas. Foto Facebook Dallah Deen Photography

"Setakat hari ni saja dah lebih 10 ekor kerbau mati. Lebih banyak lagi akan mati. Buat masa ini ada lebih 30 ekor kerbau mati secara tiba-tiba," katanya kepada mStar.

Muhammad Alias berkata, kematian mengejut kerbau-kerbau tersebut bukan sahaja membuatkan Muhammad Syukur bersedih, malah memberi tamparan hebat buat seluruh keluarga.

"Syukur memang asyik menangis, kami sekeluarga pun tak tahu nak cakap apa. Kami buntu tengok keadaan yang berlaku.

"Bayangkanlah, kami ada lebih 100 ekor kerbau dan daripada jumlah itu setakat ini dah lebih 30 ekor kerbau mati mengejut," katanya sambil merujuk kepada Muhammad Syukur yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik itu.



Kematian kerbau dipercayai disebabkan oleh penyakit hawar berdarah. Foto Facebook Syukor Khamis - Kampong Boy

Tambahnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah datang melakukan pemeriksaan dan mengesyaki ia berlaku akibat penyakit hawar berdarah atau dikenali Heamoragic Septicaemia (HS) dan keputusan dijangka dikeluarkan dua minggu lagi.

Dalam pada itu, katanya, beberapa kerbau kesayangan Muhammad Syukur masih selamat seperti Tongkol, Along dan Samek.

Kita mengesyaki kerbau-kerbau yang mati itu disebabkan oleh hawar berdarah

DR MOHD TERMIZI GHAZALI

"Buat masa ini masih hidup tapi kita tak tahu nasib kerbau-kerbau tu macam mana selepas ini," katanya.

Bapa Muhammad Syukur iaitu Khamis Jusoh, 64, pula berkata, kerugian yang dialami mereka sekeluarga akibat kematian mengejut kerbau-kerbau itu dianggarkan RM200,000.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali ketika dihubungi mStar turut mengesahkan kejadian yang menimpa sebahagian kerbau peliharaan keluarga Muhammad Syukur.



Syukur bersama kerbaunya di kandang. Foto Facebook Dallah Deen Photography

Beliau berkata, pegawainya akan turun padang untuk meneruskan pemeriksaan terhadap kerbau-kerbau di lokasi kejadian termasuk membuat suntikan vaksin.

"Jabatan kami ada membuat pemeriksaan di kawasan sekitar sejak Februari lalu. Dan berdasarkan sampel yang diambil, sekarang ini terdapat beberapa kes hawar berdarah di kawasan berkenaan.

"Kita mengesyaki kerbau-kerbau yang mati itu disebabkan oleh hawar berdarah. Kalau ada tanda-tanda gejala, kerbau lebih cepat mati dalam tempoh kira-kira lapan jam berbanding lembu antara 12 hingga 13 jam.

"Pegawai kita akan terus melakukan pemeriksaan dan berharap keluarga tersebut dapat memberi kerjasama kepada kita untuk tujuan rawatan dan pemvaksinan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain