suria

“Lambat dia hulurkan tangan” - Motor pemuda rosak di tepi kubur jadi asbab, suami isteri terkejut niat sedekah dibalas sekelip mata

Selepas dihulurkan pertolongan, pemuda itu turut meluahkan hasrat membantu urusan perpindahan rumah Niza dan suaminya.

CEPATNYA Allah balas.

Demikian kata seorang wanita apabila dia dan suami menerima rezeki tidak disangka-sangka selepas membantu seorang pemuda pada Jumaat.

Menerusi perkongsian di Facebook, wanita dikenali sebagai Niza Mok atau Kak Nija itu dipertemukan dengan seorang pemuda yang tersadai di tepi kubur akibat mengalami kerosakan motosikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula gali kubur sejak umur 12 tahun, pemuda usia 22 tahun tak terfikir cari kerja lain - “Saya minat urus jenazah”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia rindu tapi tak tahu nak cakap” - Sayu... tak pandai kira hari, tapi anak syurga ini tahu rutin ziarah pusara bapanya

Kata Niza, suaminya sanggup pulang ke rumah untuk mencari spanar buat pemuda berkenaan yang sudah lebih satu jam menunggu di lokasi itu.

Menerusi nukilan yang dikongsi, dia sempat memperincikan semula kejadian itu yang dipercayai berlaku di Perak.

"Suami balik rumah ambil spanar bagi adik tu buka rantai motor dia yang dah jammed. Tak sampai 10 minit dah terbuka rantai tu.

"Suami tanya, awak boleh ke tolak motor ni ke workshop kat Siputeh? Boleh katanya. Ikutkan jauhlah juga. Masa suami tanya tu muka dia sedih," ujar Niza.

Selain bantuan peralatan untuk membuka rantai motor oleh suaminya, Niza sendiri turut menghulurkan RM50 kepada pemuda berkenaan.

Kisah pertemuan dengan pemuda yang tersadai di tepi kubur itu menarik perhatian netizen di Facebook sehingga ia menjadi tular. (Gambar Hiasan)

Katanya lagi, pemuda itu juga seolah-olah berat hati dan segan dengan wang pemberiannya yang dianggap sebagai sedekah.

"Kak Nija tanya berapa ringgit tukar rantai baharu ni? Dengan muka sedih dia kata RM35. Kak Nija kata tak apa, awak pergi workshop tukar yang baharu, saya bagi duit.

"Dia tengok muka Kak Nija dengan pandangan sayu. Kak Nija buka dompet, ambil sekeping duit biru bagi kat dia. Banyak sangat ni kak katanya sebak.

"Dalam hati Kak Nija berkata, tak banyak bakinya dik... rantai motor baru RM35, baki RM15 je. Ambillah pergi makan Kak Nija kata.

Setiap kejadian pasti ada hikmah yang tak disangka. Aturan Allah itu terbaik.

NIZA MOK

"Lambat dia hulurkan tangan. Suami kata ambillah kami sedekah. Doakan kami sihat dan murah rezeki ya," imbasnya lagi.

Hikmah atas pertolongan itu, pemuda berkenaan turut menawarkan bantuan lori milik rakannya setelah dimaklumkan oleh suami Niza bahawa mereka sekeluarga sedang dalam proses berpindah rumah.

Selain perkhidmatan lori tiga tan yang ditawarkan dengan harga diskaun, pemuda itu turut meluahkan hasrat membantu urusan perpindahan berkenaan.

"Dalam seminggu ni memang suami survey cari lori. Tiba-tiba Allah bagi depan mata. Siap adik tu offer tolong angkat barang.

"Benarlah. Semua yang berlaku Allah dah rancang. Kami pergi kubur emak agak lewat rupanya Allah nak temukan kami dengan adik tu.

Antara komen netizen di Facebook.

"Setiap kejadian pasti ada hikmah yang tak disangka. Aturan Allah itu terbaik. Sentiasalah bersangka baik kat Allah.

"Suami tak payah susah-susah nak cari lori. Bab lori dah selesai. Terima kasih Allah," kata wanita itu lagi.

Tambah Niza, dia dan suami hanya perlu membayar RM300 untuk menggunakan lori tiga tan milik rakan pemuda itu untuk urusan berpindah tidak lama lagi.

Sehingga kini, posting di Facebook Niza menerima lebih 3,600 tanda suka (likes).

Malah, ia turut dihujani ratusan komen netizen yang rata-ratanya terinspirasi dengan kisah berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain