"Ada saja peluang, mereka twist fakta" - Aimaan Banna dakwa sering disabotaj

Netizen anggap gurauan Aimaan Banna menjengkelkan.

SELEPAS isu fatwa ekspres beli 'followers' dikatakan haram, pendakwah Aimaan Banna sekali lagi menjadi topi perbualan hangat netizen di Twitter.

Segala-galanya bermula selepas Aimaan memuat naik sebuah video ketika sesi soal jawab bersama pelajar-pelajar di sebuah sekolah di Sabah.

Video berdurasi dua minit 20 saat itu mengundang kecaman netizen apabila kenyataan Aimaan dikatakan menyimpang dan tidak menjawab persoalan tersebut.

Berikutan itu, beliau tampil menjelaskan isi sebenar video yang dimuat naiknya itu.

Menurut pemuda dengan nama sebenarnya Mujahid Aiman Rumawi, sedutan rakaman itu hanya memfokuskan bahagian gurauan dan bukannya jawapan penuh daripada soalan yang diajukan.

"Bahagian video yang diviralkan itu adalah ketika sesi soal jawab bersama pelajar-pelajar berkenaan dan kami memang dalam mood melawak.

"Saya tak nafikan mungkin pelajar yang bertanyakan soalan itu memang nak tahu perkara sebenar. Sebab itu setiap kali selepas ceramah saya akan adakan sesi bersemuka untuk mereka ajukan soalan atau berkongsi masalah dengan saya secara personal.

"Malangnya ada segelintir individu yang menggunakan fake account sengaja buat isu dan mencetuskan provokasi," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Kecoh sejak Khamis lalu susulan kenyataan Aimaan menerusi sebuah video yang dikatakan menyimpang daripada ajaran Islam dan tidak menjawab soalan yang diajukan.

Video berkenaan mendapat 285,000 jumlah tontonan dengan lebih 7,000 ulang kicau dan 4,300 tanda suka di laman Twitter.

Video Aimaan Banna dikatakan menyimpang dan tidak menjawab soalan, menerima kecaman dari netizen.

Pendakwah berusia 22 tahun itu turut mendakwa penyebaran kembali video lama, bersifat provokasi itu dilakukan individu yang mempunyai agenda tertentu.

"Ada sahaja peluang, mereka akan jadikan ia isu, mereka twist fakta.

"Ia bukan perkara baharu, malah saya bukan orang pertama yang kena sebaliknya ramai dai dan pendakwah lain yang pernah terkena dengan 'mereka'.

"Bagaimanapun, saya tak boleh nak paksa semua untuk terima dakwah saya. Tidak mengapa, anggap sahaja ini sebagai ujian. Jika benar salah, saya akui kesalahan saya," katanya.

Ketika disoal mengenai dakwaan netizen yang mengatakan Aimaan masih terlalu muda untuk berdakwah, Aimaan punya jawapan sendiri.

"Saya setuju mereka katakan saya masih mentah untuk dijadikan bahan rujukan dan saya bukan ulama untuk dijadikan rujukan agama.

"Sejujurnya saya lebih selesa meletakkan diri saya sebagai seorang 'Dai' atau pendakwah.

"Saya tahu kapasiti saya dimana. Kalau saya tidak boleh jawab soalan, saya tidak akan respons sebaliknya akan merujuk kepada yang lebih pakar," ujarnya.

Tambahnya, bahan lawak dan jenaka itu sekadar perhiasan dalam dakwah dilakukannya.

Aimaan Banna.

Mengulas lanjut Aimaan berkata, dia terbuka untuk menerima sebarang teguran berhubung kelemahannya namun enggan melayan sebarang provokasi.

"Niat video itu dimuat naik adalah untuk menarik orang ramai melihat live instagram saya. Kalau saya letak video ceramah dua jam, takkan ada yang nak tengok. Kaedah dakwah saya adalah meletakkan video 2 minit ketika momen lawak itu.

"Saya bersifat terbuka, saya boleh terima teguran. Kalau ada yang tak setuju dengan saya lebih baik DM (direct message) untuk tanya saya daripada serang saya di media sosial. Saya tak akan layan provokasi.

"Untuk saya baiki lagi kelemahan saya selepas ini saya akan tambah lagi pengisian dalam video lawak," katanya.

Aimaan Banna, gurau

Artikel Berkaitan

Artikel Lain