suria

Timbalan Speaker akui hadiri ‘kenduri durian’ seperti dalam video tular

Mohd Rashid memohon maaf dan menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis.

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengakui beliau berkunjung ke sebuah kebun durian baru-baru ini, sebagaimana dalam video yang tular di media sosial.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu memohon maaf dan berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam melakukan siasatan mengenai perkara itu.

"Saya mohon maaf di atas kekeliruan yang timbul apabila terdapat media yang menghubungi saya bagi bertanyakan mengenai video saya di kebun dan saya menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya.

"Setelah selesai mengadap Yang Di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisa video yang terkait pada saya," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Terdahulu, beliau berkata, 'kenduri durian' itu diadakan tahun lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac 2020.

Dalam pada itu, Mohd Rashid berkata, sememangnya sejak PKP yang pertama sehingga kini, beliau sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman mereka berikutan jualan yang merosot.

Tambah beliau, video yang tular merupakan lawatannya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP ini.

"Kebetulan ketika itu terdapat lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraidah Kamaruddin ke Batu Pahat. Oleh itu, kami menghadiahkan durian kepada rombongan menteri untuk dibawa pulang.

"Selepas rombongan menteri pulang, saya dibawa ke kebun oleh salah seorang pengusaha pada sebelah petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.

"Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami. Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mohd Rashid berkata, beliau meninggalkan program awal kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan dibuka berhubung perkara itu.

Jelas beliau, siasatan akan dilakukan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 berikutan terdapat laporan mengenai kejadian itu.

"Polis akan memanggil Ahli Parlimen Batu Pahat dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam video tersebut untuk membantu siasatan," katanya. - The Star

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain