suria

Elak bersemuka ketika pandemik... portal MyAssist platform one-stop centre bantu PKS

553 (1)

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini (Rabu) melancarkan portal MyAssist MSME yang bertujuan memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan maklumat perniagaan, khidmat nasihat dan peluang pemasaran secara dalam talian.

Muhyiddin dalam ucapannya yang telah dirakam lebih awal berkata pandemik Covid-19 yang melanda sejak akhir tahun 2019 telah memberikan impak yang sangat besar kepada kehidupan, kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia.

"Malaysia turut menerima kesan pandemik ini dengan pertumbuhan PKS pada tahun 2020 negara diunjurkan menguncup pada kadar 5.4 peratu," katanya.

Muhyiddin berkata selain pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan sebelum ini, kerajaan sedar akan keperluan untuk memudahcara perniagaan khususnya dalam kalangan PKS termasuk enterpris mikro.

Justeru Portal MyAssist MSME, ini katanya dibangunkan pada waktu yang sangat tepat, iaitu dikala negara kini berada dalam keadaan yang mana pertemuan bersemuka perlu dikurangkan.

ARTIKLE BERKAITAN: Cadang sidang Parlimen sebelum 1 Ogos

ARTIKLE BERKAITAN: Malaysia catat 6, 276 kes baharu Covid-19, Selangor rekod jangkitan harian hampir 3, 000!

Katanya Portal MyAssist MSME bakal menjadi solusi kepada norma baru dengan menyediakan keperluan fasilitasi perniagaan semuanya di bawah satu bumbung atau one stop centre.

"Portal MyAssist MSME menyediakan platform kepada PKS untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat, bimbingan dan peluang pemasaran secara dalam talian.

"Platform ini akan dapat membantu PKS menangani permasalahan dan isu berkaitan perniagaan dalam keadaan norma baharu.

"Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan PKS tempatan terus diperkasa dalam mendepani cabaran semasa," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

PKS katanya merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara dengan sumbangan 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 17.9 peratus kepada eksport negara,

Majlis Pelancaran Portal MyAssist MSME dan Minggu PKS Kebangsaan 2021 dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"PKS di negara juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 7.3 juta orang," katanya.

Muhyiddin berkata pandemik Covid-19 bagaimanapun telah memberi kesedaran mengenai kepentingan untuk keluar daripada keadaan normal, mencari idea baru dan menjadi lebih berinovasi untuk memastikan kemajuan.

"Dengan pembatasan pergerakan dan pertemuan manusia secara fizikal, ianya menyebabkan masyarakat secara tidak langsung terpaksa menerima penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan seharian, sekaligus mendorong peningkatan penggunaan teknologi maklumat," katanya.

Katanya, usahawan perlu berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan, bagi membolehkan mereka menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan.

Muhyiddin berkata dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan pendigitalan di negara ini, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

"JENDELA akan menjadi platform untuk mencapai aspirasi ini dengan mempercepat penyambungan digital negara melalui penyebaran akses mudah alih, fiber dan tanpa wayar tetap, dan membuka jalan ke 5G.

"Pelaksanaan pelan pendigitalan yang meluas di seluruh negara akan memberi manfaat yang besar kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata Bank Negara Malaysia telah menganggarkan ekonomi Malaysia akan tumbuh dalam lingkungan 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini didorong oleh pemulihan aktiviti domestik yang stabil, dan peningkatan permintaan luar.

Bagi melonjakkan status ekonomi negara, ekonomi digital akan memainkan peranan penting dengan sasaran sumbangan sebanyak 22.6 peratus kepada KDNK negara pada tahun 2025.

"Agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan juga haruslah terus memberi kesedaran, latihan, sokongan dan bantuan yang diperlukan bagi mempercepatkan proses transformasi ini," Muhyiddin berkata.

Beliau menzahirkan harapannya agar penganjuran Minggu PKS Kebangsaan 2021 secara talian yang turut diadakan serentak ini akan menjadi titik tolak bagi PKS untuk mengambil peluang menjalankan perniagaan secara dalam talian dan seterusnya melangkah ke dunia pengitalan.

"Saya juga berharap agar PKS dapat berusaha untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih luas dengan meneroka perniagaan melangkaui sempadan di peringkat antarabangsa," tambahnya.

Tahun ini Minggu PKS Kebangsaan yang bertemakan "Mula Berdikit, Azam Melangit" akan diadakan mulai 26 Jun 2021 sehingga 4 Julai, seiring dengan sambutan Hari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Antarabangsa.

Sementara itu Muhyiddin juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas diatas pelancaran portal ASEAN Access pada 16 Jun lalu.

Portal ini memaparkan maklumat perdagangan dan akses pasaran kepada PKS untuk meneroka pasaran dan memudah cara perniagaan di rantau Asean.

Selain itu portal ini juga merupakan inisiatif flagship yang diterajui oleh Thailand bersama negara anggota Asean yang lain di bawah Jawatankuasa Penyelarasan PKS Asean (ACCMSME) untuk meningkatkan pengantarabangsaan dan meluaskan akses pasaran PKS.

"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi selaku focal point negara dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan PKS Asean bagi tahun 2021/2022 telah bergiat aktif dalam menjayakan pembangunan portal ini.

"Dengan tagline “Your Business Information Gateway to Asean”, saya percaya portal Asean Access yang turut menghoskan MyAssist ini dapat menjadi gerbang pemangkin bagi PKS tempatan meluaskan pasaran ke luar negara dan bagi PKS asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan, justeru memperkasakan ekonomi negara," katanya.



Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa Portal MyAssist MSME dibangunkan atas empat komponen penting.

Sementara itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Portal MyAssist MSME yang dibangunkan agensi dibawah kementeriannya iaitu SME Corp Malaysia mempunyai empat komponen utama.

"Pertama sebagai pusat maklumat mengenai inisiatif pakej rangsangan serta program pembangunan PKS, kedua Khidmat Nasihat dan perundingan secara dalam talian mengenai kemudahan kewangan, fasilitasi perdagangan, penjenamaan serta sokongan teknologi.

"Seterusnya peluang perkhidmatan padanan perniagaan melalui modul MatchMe yang mana platform ini akan menawarkan pameran atau ekspo jualan dalam talian (e-pameran) dan e-dagang dan akhir sekali sebagai medium maklum balas secara interaktif mengenai pelaksanaan inisiatif dan bantuan kerajaan berkaitan PKS," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain