Jalani kuarantin Covid-19, perbicaraan kes Ahmad Zahid ditangguh lagi

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 membabitkan pengubahan wang haram. fotoBERNAMA.

PERBICARAAN terpaksa ditangguhkan gara-gara kuarantin Covid-19.

Begitulah kisahnya melibatkan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya supaya perbicaraannya yang dijadualkan pada Isnin hingga Rabu, ditangguhkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Keputusan laksana TEMCO di Sabah akan diputuskan hari ini

Menurut peguamnya, Hamidi Mohd Noh, Ahmad Zahid tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), beliau perlu dikuarantin di rumah dari 26 September sehingga hari ini.

“Anak guam saya telah melakukan ujian swab sekali lagi selepas lawatan mengejut pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di rumahnya semalam dan keputusannya adalah negatif.

“Hari ini, beliau akan menjalani ujian wajib Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di rumahnya untuk menentukan sama ada keputusan negatif atau positif. Saya difahamkan ujian itu hanya boleh dibuat pada lewat hari ini.

“Oleh itu, pihak pembelaan ingin memohon penangguhan perbicaraan untuk hari ini, esok dan Rabu, ” katanya.

Hamidi berkata beliau difahamkan Ahmad Zahid mungkin berisiko kerana pada 19 September, beliau bersama calon (Barisan Nasional) bagi kerusi Pitas, Sufian Abd Karim, yang diuji positif Covid-19.

“Sufian dan anak guam saya mengambil gambar bersama...saya merasakan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penyebaran virus, ” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan tarikh perbicaraan untuk hari ini sehingga Rabu.

“Tarikh perbicaraan hari ini sehingga Rabu akan ditangguhkan, kita (perbicaraan) akan bersambung semula pada 12 Oktober, ” kata Hakim Sequerah.

Semasa prosiding 21 September lepas, mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan selama dua hari (21 dan 22 Sept) kerana beliau perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 membabitkan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.- BERNAMA.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain