suria

Anugerah Star Golden Hearts: UmieAktif bakal lebarkan sayap ke Sarawak

Nik Sin (kiri) bersama rakan baiknya, Lawrence dengan hadiah kemenangan yang diperoleh sebagai penerima anugerah Inspirasi Star-Gamuda.

PETALING JAYA: Sebut sahaja Jalan Chow Kit, apa yang terlintas di minda hanyalah kawasan kotor dan lorong dipenuhi gelandangan pelbagai usia serta latar belakang.

Namun, pandangan itu cuba diubah dua pemuda yang mahu kanak-kanak serta komuniti di kawasan itu mendapat layanan sama serta mampu menjana pendapatan seperti orang lain.

Bertitik tolak daripada itu, wujudnya UmieAktif iaitu program yang ditubuhkan dua rakan sebilik, Lawrence Abus dan Nik Sin Nik Man bagi membantu penghuni kanak-kanak di sekitar Jalan Chow Kit serta golongan ibu untuk memperoleh rezeki bagi membiayai kehidupan mereka.

"Mulanya kira-kira lima tahun lalu, kami menyertai badan bukan kerajaan (NGO), Region of Love dengan menderma pakaian dan membantu kanak-kanak membaca serta menyediakan dokumen untuk mereka ke sekolah.

"Tetapi setiap minggu, ada ibu yang datang sambil menangis minta wang kerana tidak mampu membayar sewa. Jadi kami berfikir, daripada memberi mereka duit setiap masa, apa kata kita sediakan peluang pekerjaan untuk mereka," kata Lawrence yang berusia 32 tahun.

Sementara itu, Nik Sin yang bertugas sebagai penolong juruukur berkata, sebuah NGO telah memberinya gerai secara percuma dan ia digunakan untuk mengajar kanak-kanak menghasilkan kraftangan.

"Selepas mendapat tahu jualan laris, terlintas di fikiran ia tidak boleh diteruskan kerana mungkin akan ke penjara atas kesalahan buruh kanak-kanak.

"Jadi saya kumpulkan ibu mereka dan cuba meyakinkan  jika anak mereka yang berusia tujuh hingga 12 tahun ini boleh menjahit, kenapa tidak golongan ibu?" kata pemuda berusia 36 tahun ini.

Hampir 70 peserta yang menyertai program itu yang asalnya dikenali sebagai Tangan Kecil sebelum ditukar kepada UmieAktif bagi melambangkan kesungguhan kaum ibu untuk mengubah kehidupan di Jalan Chow Kit.

"Selepas anak patung, kami cuba menjahit pada beg, kemudian baju, bantal leher dan rantai kunci.

"Mulai saat itu juga semakin ramai yang mahu menyertai program ini tetapi mereka tiada pengangkutan. Jadi saya mengambil inisiatif menemui dan mengajar mereka supaya hasil kraftangah yang dihasilkan dapat dijual," katanya sambil menambah jualan menerusi laman media sosial UmieAktif juga dilakukan untuk meningkatkan pendapatan peserta program.

Bagaimanapun, pengasas program agak kecewa kerana masih ada dalam kalangan ibu yang berat tulang untuk mencari pendapatan sendiri.

"Banyak NGO di sekitar Jalan Chow Kit yang membantu komuniti di sini hingga membuatkan mereka malas bekerja," demikian dakwa Lawrence yang bertugas selaku pensyarah di sebuah kolej di ibu negara.

Setakat ini, selain Jalan Chow Kit, program UmieAktif telah diwujudkan di Kampung Melayu Ampang dan Kelantan. Malahan perancangan sedang dirangka untuk mengembangkannya di Sarawak.

Lawrence dan Nik Sin bersama Lee Lam Thye (kiri sekali), Sharifah Alauyah (Yayasan Gamuda), Fu Ah Kiow (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai (kanan sekali).

Usaha murni kedua-dua anak tempatan ini menerusi UnieAktif telah memenangi anugerah Star Golden Hearts serta kategori Inspirasi Star-Gamuda, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

Anugerah itu disampaikan Pengerusi Kumpulan Media Star, Datuk Fu Ah Kiow diiringi Ketua Juri, Tan Sri Lee Lam Thye pada majlis yang berlangsung di Menara Star pada Khamis.

UmieAktif, Star, Chow Kit

Artikel Berikut

Artikel Lain