Ancaman bom di Hospital KPJ Seremban palsu - Semasa | mStar

Ancaman bom di Hospital KPJ Seremban palsu

Pesakit dan kakitangan Hospital KPJ Seremban berada di luar bangunan hospital. Foto Facebook

SEREMBAN: Polis mengesahkan panggilan ancaman bom yang diterima oleh Hospital Pakar KPJ Seremban, di sini petang tadi adalah panggilan palsu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh berkata polis yang menerima laporan kejadian pada pukul 4.50 petang bergegas ke lokasi sebelum mengarahkan kesemua 117 pesakit dan 50 kakitangan hospital terlibat mengosongkan bangunan.

Katanya, panggilan berkenaan diterima daripada seorang lelaki yang mendakwa ada bom di dalam bangunan berkenaan.

“Pihak polis yang terdiri daripada 12 anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan dua anggota dari Unit Anjing Pengesan (K9) bersama seekor anjing, mengambil masa dua jam memeriksa keseluruhan bangunan lapan tingkat ini.

“Hasil pemeriksaan terperinci mendapati tiada objek yang disyaki bom dijumpai seperti yang didakwa oleh seorang pemanggil telefon kepada hospital ini,” katanya kepada media di sini.

Turut berada di lokasi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis dan Pengarah Perubatan Hospital KPJ Seremban Profesor Dr Wan Azmi Che Hon.

Beliau berkata selepas keadaan disahkan selamat, para pesakit bersama kakitangan dibenarkan masuk semula ke premis secara berperingkat bermula pukul 7 malam.

Thiew berkata polis masih meneruskan siasatan untuk mengesan individu yang membuat panggilan palsu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Selain polis, seramai 30 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 serta pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) turut membantu mengawal keadaan.

Sementara itu, Dr Wan Azmi berkata sebaik menerima panggilan ancaman bom tersebut, unit bencana hospital berkenaan telah membuat pemeriksaan awal sementara menunggu kedatangan polis.

“Hanya seorang pesakit yang menghidap denggi dipindahkan sementara ke Hospital Tuanku Jaafar dekat sini.

“Kami menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lengkap,” katanya. -  BERNAMA

bom , hospital

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tambang tren Skypark ditetapkan RM11

Artikel Lain