suria

Amaran! Jangan makan sayur Romaine lettuce dari AS

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  memberi amaran mengenai bahaya memakan sayur Romaine lettuce dari Amerika Syarikat (AS), berikutan  laporan ia dicemari bakteria patogenik Escherichia coli (E.coli).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM mengambil maklum artikel bertajuk “Romaine lettuce is not safe to eat, CDC warns US consumers” yang disiarkan The Washington Post pada 20 November lalu. 

"Berdasarkan maklumat menerusi Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM), Malaysia ada mengimport sayur Romaine lettuce dari AS.

"Berikutan itu, berkuatkuasa 23 November 2018, pihak kementerian telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan 'Tahan, Uji dan Lepas' (TUL) terhadap sayur Romaine lettuce yang diimport," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 

Susulan itu, KKM memberi arahan kepada pengusaha yang menjual sayur berkenaan untuk menarik balik penjualan mereka dengan serta merta.

Ketika ini, kementerian sedang memantau kes E.coli di Malaysia dan sehingga kini mendapati, tiada kes baharu yang wujud.

E.coli adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan yang serius sehingga boleh menyebabkan kematian jika tidak dikawal.

Antara tanda-tanda orang menghidapi E.coli adalah berasa loya yang teruk, cirit birit, sakit perut, muntah, pening.

Sehubungan itu, KKM menyarankan agar orang awam mendapatkan rawatan segera sekiranya mendapati bahawa mereka mempunyai tanda-tanda seperti di atas.


Romaine lettuce, AS, KKM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain