suria

Maszlee: Remehkan syor guna kolam renang hotel abai keperluan keselamatan air kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, meremehkan cadangan beliau berhubung penggunaan kolam renang hotel untuk kegiatan kokurikulum belajar berenang oleh pelajar sekolah, seperti mengabaikan keperluan bagi menggalakkan keselamatan air dalam kalangan generasi muda.

"Tolong jangan remehkan isu keselamatan air dan menyelamatkan nyawa dan menjadi saya sebagai bahan ejekan," katanya.

"Saya kecewa sesuatu yang begitu penting seperti mengajar anak-anak kita mengenai keselamatan air dan bagaimana untuk menyelamatkan nyawa, telah disalah tafsir oleh media," katanya kepada pemberita di Parlimen pada Khamis.

Beliau turut berkata, perkara tersebut sekadar cadangan.

"Tiada paksaan bagi hotel-hotel untuk menyertai program ini tetapi mereka boleh berbuat demikian secara sukarela sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab korporat sosial," katanya.

Beliau menambah, cadangannya itu bukan sahaja ditujukan kepada hotel tetapi juga kepada kelab swasta yang sanggup membenarkan kolam mereka digunakan untuk pendidikan kemahiran menyelamatkan nyawa.

"Ini adalah kali pertama kami memperkenalkan program seperti ini sebagai sebahagian daripada aktiviti tambahan kokurikulum di sekolah," katanya, sambil menambah bahawa program sedemikian telah dilaksanakan di beberapa negara seperti Singapura dan Britain.

Beliau berkata, adalah penting untuk mengajar kanak-kanak mengenai keselamatan air dan teknik menyelamatkan nyawa kerana lebih 100 kes lemas dalam setahun, terutama semasa musim cuti dan musim tengkujuh.

"Matlamat kita adalah untuk menjadikan program ini sebagai subjek sekolah dan dalam masa 20 tahun, semua anak kita bukan sahaja dapat berenang tetapi juga menyelamatkan nyawa," katanya.

Dr Maszlee berkata, kementerian mengambil masa beberapa bulan untuk merangka manual mengenai program itu, dengan bantuan daripada beberapa agensi penyelamat dan Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia.

Beliau menambah, manual tersebut boleh didapati di semua jabatan pendidikan negeri.

Maszlee Malik, kolam renang

Artikel Lain