suria

Staf JPJ guna bahasa isyarat bantu OKU tular, MOT bangga

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan melahirkan penghargaan kepada seorang kakitangannya yang menjadi sebutan ramai selepas aksi berbahasa isyarat ketika membantu pelanggan orang kelainan upaya (OKU) tular di media sosial.

Menterinya, Anthony Loke berkata Pembantu Penguatkuasa, Nurul Fatihah Shamsudin Shah belajar bahasa isyarat secara suka-suka ketika di bangku sekolah.

“Kementerian amat berbangga dan memberikan sekalung penghargaan kepada Nurul Fatihah atas sifat komited dalam memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada pelanggan OKU pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Kementerian dimaklumkan Nurul Fatihah telah mengikuti kelas bahasa isyarat sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang di asrama sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Durah (STAD), Seremban,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anthony menyampaikan sijil penghargaan kepada Nurul Fatihah.

Rakaman video berdurasi seminit 27 saat berkenaan yang tular di media sosial telah mendapat pujian netizen.

Dalam pada itu, Anthony berkata nilai tambah yang ada pada staf wanita itu haruslah menjadi contoh kepada semua pejawat awam dalam memartabatkan perkhidmatan awam kelas pertama.

Jelas Anthony, pasangan OKU itu mengadu mengenai tindakan sebuah sekolah memandu yang sudah mengambil wang namun tidak meneruskan proses pengambilan lesen.

“Tindakan telah dilakukan dengan memanggil pengadu ke JPJ Wangsa Maju dan Institut Memandu SKEM telah bersetuju untuk mengaturkan kelas pembelajaran.

“SKEM tidak akan mengambil sebarang bayaran berikutan rasa tanggungjawab dan khidmat sosial (CSR) terhadap pengadu,” katanya. - Sinar Harian

JPJ

Artikel Lain