suria

PRK Port Dickson berlangsung 13 Oktober

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson ditetapkan pada 13 Oktober ini, demikian keputusan mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, selain itu, tarikh penamaan calon pula diputuskan pada 29 September ini.

Kebetulan tanggal bersamaan Sabtu terakhir bulan ini bertembung dengan tarikh Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berlangsung di ibu negara.

"PRK Port Dickson melibatkan peruntukan RM3.6 juta kerana ia melibatkan kawasan yang luas dan Parlimen Port Dickson melibatkan lima Dewan Undangan Negeri di bawahnya,” katanya selepas mesyuarat khas berkaitan urusan PRK Parlimen Port Dickson di ibu pejabat SPR di Putrajaya.

Othman berkata SPR meletakkan sasaran 70 peratus daripada 75,700 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Port Dickson keluar mengundi pada PRK itu nanti.

Ini adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong  selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Anwar baru-baru ini juga menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR.

Dalam PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS. 



PRK, Port Dickson, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Lain