suria

Kematian keracunan metanol meningkat kepada 21 orang

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Enam lagi kes disyaki keracunan metanol dilaporkan di Lembah Klang, termasuk dua kematian yang dilaporkan di hospital swasta, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Jumlah tersebut membawa kepada 21 jumlah kematian yang dilaporkan setakat ini.

Sementara itu, menurut KKM, analisis tiga sampel jenama yang berbeza menunjukkan hanya Grand Royal Whiskey yang didapati mengandungi metanol dan tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bilangan kes yang disyaki itu dilaporkan di pusat kesihatan kerajaan setakat pukul 12 tengah hari Rabu dengan 55 kes iaitu Selangor (48) dan Kuala Lumpur (tujuh), manakala jumlah kes dari pusat kesihatan swasta tidak dapat disahkan lagi kecuali dua kematian.

"Jumlah kes dijangka meningkat apabila lebih ramai pesakit mendapatkan rawatan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet kementerian itu pada Rabu.

Terdahulu, dilaporkan setakat petang Selasa, 51 kes keracunan metanol dilaporkan di Lembah Klang, menyebabkan 19 maut manakala 14 yang lain dalam keadaan kritikal.

Dr Dzulkefly berkata, kementerian melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengambil sampel produk untuk dianalisis.

Katanya, minuman beralkohol yang disyaki adalah Grand Royal Whiskey, Mandalay Whiskey dan bir King Fisher tetapi pada masa ini, analisis daripada sampel menunjukkan hanya Grand Royal Whiskey didapati mengandung metanol dan gagal mematuhi Akta Makanan 1983.

Tambahnya, ia juga tidak mematuhi keperluan pelabelan seperti tidak memasukkan nama dan alamat pengeluar, pengimport atau ejen seperti yang dikehendaki oleh Peraturan Makanan 1985.

Menurut Dr Dzulkefly, kementerian sedang memantau produk alkohol dan jenama lain yang tidak mematuhi undang-undang.

Beliau berkata, setakat Rabu, 291 botol minuman beralkohol pelbagai jenama telah dirampas.


metanol, alkohol

Artikel Lain