Tiada bekas ahli Umno dekati Pakatan Harapan - Wan Azizah - Semasa | mStar

Tiada bekas ahli Umno dekati Pakatan Harapan - Wan Azizah

Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PUTRAJAYA: Setakat ini, tiada bekas ahli Umno yang mendekati Pakatan Harapan (PH) dengan tujuan untuk menyertai parti pemerintah, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden PH berkata, kepimpinan belum membincangkan situasi semasa di mana beberapa pemimpin Umno keluar dari parti itu.

"Kita tidak berjumpa atau mengadakan mesyuarat bagi meneliti perkara ini.

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang permohonan (oleh bekas pemimpin Umno untuk menyertai PH)," kata Dr Wan Azizah selepas menutup sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 di sini.

Pada Selasa, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti itu.

Pada Rabu, seorang lagi pemimpin Umno dari Sabah, iaitu Ahli Parlimen Kimanis dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, mengumumkan peletakan jawatannya.

Khabar angin bertiup kencang mengenai lebih ramai pemimpin Umno dijangka turut keluar dari parti itu.

Senarai 17 nama pemimpin Umno yang dikatakan akan keluar dari Umno tular di media sosial.

Umno , Dr Wan Azizah , Pakatan Harapan

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan