suria

Tiga pengiring Hishammuddin lapor diri ke ATM

KUALA LUMPUR: Tiga anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat sebagai pengiring rapat kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah kembali melapor diri ke ATM.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata tindakan sedang diambil berhubung perkara itu.

"Mereka telah dilaporkan kembali bertugas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira pada Selasa.

Difahamkan siasatan oleh ATM sedang dijalankan atas dakwaan tiga orang kakitangannya masih berkhidmat sebagai pengiring Hishammuddin meskipun beliau tidak lagi memegang portfolio itu berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mei lalu.

Dua pegawai Paskal itu masih dalam perkhidmatan, yang masing-masing akan tamat perkhidmatan pada 2020 dan 2021, manakala komando itu didakwa antara individu yang kelihatan dalam gambar yang dimuat naik Hishammuddin di laman Twitter beliau baru-baru ini.

Ketiga-tiga anggota itu juga didakwa masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.

Hishammuddin menerusi kenyataan balas di Twitternya memaklumkan ketiga-tiga pegawai itu amat rapat dengan keluarganya kerana telah berkhidmat sekian lama.

Menurutnya, tiga pegawai itu hanya berkhidmat sebagai pengiringnya buat sementara.

"Saya telah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima, mereka harus berhenti dari ATM dengan serta merta," katanya.

Hishammuddin Hussein, pengiring, ATM

Artikel Sebelum

Syiah: Itu hanya dakwaan

Artikel Lain