suria

Tak berganjak dari Dewan Rakyat, ini jawab KJ, Anifah

Anifah (kiri) dan Khairy tidak berganjak dari kerusi masing-masing ketika sebahagian anggota parlimen pembangkang lain meninggalkan dewan sebagai tanda bantahan dan menolak proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Parlimen bagi Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14, Isnin. Foto Bernama

PETALING JAYA: Hanya dua wakil rakyat pembangkang yang tidak berganjak dari Dewan Rakyat apabila kesemua ahli parlimen Barisan Nasional (BN) keluar dewan bersama ahli parlimen PAS sebagai tanda protes terhadap proses pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

ARTIKEL BERKAITAN: Hari pertama di Parlimen, MP pembangkang keluar dewan!

Mereka ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah berkata, mereka telah menzahirkan rasa tidak setuju dan puas hati terhadap proses pelantikan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat pada Isnin.

Malah bekas menteri luar itu berkata, beliau menghormati pandangan dan pendirian rakan-rakan lain yang berdiri sebagai pembangkang pada hari ini. 

“Bagaimanapun saya berpendapat dan merasakan tidak perlu untuk saya bertindak meninggalkan dewan pada pagi tadi.

“Saya akan bertindak dalam mana isu-isu yang akan memberi manfaat pada rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Isnin.

Anifah turut mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ariff di atas pelantikan tersebut.

Sementara itu, Khairy berkata, tindakan beliau tidak keluar Dewan Rakyat seperti yang dilakukan oleh rakan pimpinan BN dan PAS pagi Isnin kerana beliau menghormati majlis.

Jelasnya, walaupun terdapat pertikaian berhubung pelantikan Speaker Dewan Rakyat, namun tindakan keluar Dewan bukan cara untuk menyatakan bantahan.

"Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.

"Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui 'standing order' pada hari Rabu," ujar Khairy.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan kerajaan Pakatan Harapan dengan terus mencadangkan nama bekas hakim Mahkamah Rayuan itu sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah tidak mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pihak pembangkang mempunyai bukti yang mencukupi bahawa notis pencalonan Yang Dipertua kesembilan ini tidak memenuhi tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan.

"Biarpun Setiausaha Dewan Rakyat (Datuk Roosme Hamzah) memaklumkan bahawa Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah menghantar surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 2 Julai.

"Tetapi kami mempunyai bukti yang cukup bahawa tempoh 14 hari sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak diikuti,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.
Anifah Aman, Dewan Rakyat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KJ, Anifah perlu jawab

Artikel Lain