suria

Selepas 9 jam beri keterangan, anak tiri Najib sekali lagi ke SPRM

PUTRAJAYA: Riza Aziz sekali lagi akan bertemu dengan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu, walaupun sudah menghabiskan masa selama sembilan jam bersama mereka, Selasa.

Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijangka bertemu pegawai SPRM pada pukul 2 petang hari ini.

Sumber berkata masih ada beberapa perkara yang perlu ditanya kepada Riza mengenai 1MDB.

Ini kerana terdapat dakwaan bahawa dana dari 1MDB digunakan untuk membiayai beberapa filem Hollywood di bawah syarikat miliknya.

Riza, 48, yang memakai sut gelap dan kemeja kuning, tiba di ibu pejabat SPRM pada pukul 1.30 petang Selasa ditemani peguamnya, Datuk K. Kumaraendran.

Riza meninggalkan bangunan SPRM pada jam 10.30 malam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada Selasa berkata Riza hanya diambil keterangan sahaja dan tiada keperluan untuk menahan beliau setakat ini.

Riza adalah pengasas bersama syarikat pengeluaran filem Hollywood, Red Granite Pictures, yang antara lain, menghasilkan filem The Wolf of Wall Street yang terkenal.

Beliau adalah salah seorang daripada dua anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil dari perkahwinan sebelumnya.

Riza Aziz, SPRM, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain