suria

Najib mengaku tidak bersalah

-fotoREUTERS

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

Najib membuat pengakuan itu di hadapan hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak selepas kesemua kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu kesemua pertuduhan itu dibaca di hadapan hakim mahkamah sesyen Datuk Zainal Abidin Kamarudin namun pengakuan tidak direkodkan.

Najib, 64, didakwa telah menggunakan jawatan untuk suapan berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit bagi pihak negara bagi memberikan jaminan kerajaan untuk pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn. Bhd.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012 di pejabat Perdana Menteri Presint 1 Putrajaya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh hukum Seksyen 24 akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, beliau sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia dan Advisor Emeritus SRC International Sdn. Bhd., dan dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad Banggunan Ambank Group No. 55, Jalan Raja Chulan, antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014.

Bagi kesalahan itu Najib didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia dan Advisor Emeritus SRC International Sdn. Bhd., dan dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad Banggunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan antara 24 Disember hingga 29 Disember 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan keempat, Najib sebagai jawatan sama dalam kapasiti yang sama diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM10 juta ditempat sama antara 10 Februari hingga 2 Mac 2015.

Artikel Lain