suria

Restoran asam pedas ada cacing di Melaka diarah tutup

MELAKA: Sebuah restoran asam pedas di sini, yang rakaman video makanannya mengandungi cacing dan tular di media sosial, diarah tutup selama dua minggu bermula semalam untuk kerja pembersihan.

Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ghazali Othman berkata ini berikutan restoran itu gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Kita akan serahkan hasil siasatan kepada Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong hari ini sebelum ia disampaikan kepada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari,” katanya ketika dihubungi pemberita, Isnin.

Pada Ahad, tular di laman sosial rakaman video cacing dalam masakan asam pedas di Melaka berdurasi satu minit 54 saat yang dipercayai dirakam oleh pelanggan kedai tersebut.

Dr Ghazali menasihati semua pengusaha kedai makan di negeri ini agar menjaga kebersihan dalam menyediakan makanan dan mematuhi standard kebersihan yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian memandangkan Melaka adalah negeri tumpuan pelancong.

“Apabila terjadi kes seperti ini ia akan merosakkan imej kedai tersebut dan juga pengusaha kedai makanan lain dan akhirnya merugikan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata beliau telah meminta pihak berkuasa yang terlibat sama ada Kementerian Kesihatan ataupun pihak berkuasa tempatan untuk menyiasat dakwaan itu.

“Kita akan mengambil beberapa langkah seterusnya apabila menerima hasil siasatan penuh,” katanya. - BERNAMA

kedai asam pedas, cacing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain