suria

Dr Idris dakwa Amirudin hanya dapat 'restu' Azmin

Azmin mengucapkan tahniah kepada Amirudin selepas selesai Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Perlantikan Menteri Besar Selangor dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Anggota Dewan Di Raja Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah, pagi Selasa. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok, Dr Idris Ahmad mendakwa beliau merupakan satu-satunya calon dipersetujui oleh empat komponen parti Pakatan Harapan (Harapan) untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

"Saya ada sokongan semua parti dalam Harapan manakala Amirudin Shari cuma mendapat restu (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di kediamannya pagi Selasa.

Malah dakwanya, sewaktu Harapan menang sekali lagi di Selangor pada PRU14, nama beliau dicalonkan untuk memegang jawatan nombor satu di negeri ini bagi menggantikan Mohamed Azmin.

Idris turut mendakwa, Timbalan Presiden PKR itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor selepas Harapan menang pada PRU14 ‘tanpa restu’ daripada mana-mana komponen parti berkenaan.

Dakwanya, beliau mendapat sokongan majoriti bagi pencalonannya sebagai Menteri Besar Selangor menerusi surat daripada PKR, DAP, Bersatu dan Parti Amanah Negara.

“Sebelum PRU14, terdapat ura-ura dalam Pakatan Harapan mahu saya menjadi Menteri Besar Selangor dan dua hari selepas kita menang serta dalam suasana gembira meraikan kemenangan itu, tiba-tiba calon Menteri Besar Selangor baharu pula telah diumumkan tanpa restu parti yang lain.

“Saya tidak mahu jadi ‘gentleman’ lagi, beliau (Mohamed Azmin) pergi ke sana secara sendiri.

“Hanya satu nama dicadangkan iaitu nama saya. Malah, saya mendapat restu daripada semua komponen Pakatan Harapan dan surat itu telah dihantar kepada Sultan Selangor,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di kediaman beliau, dekat sini Selasa. - Sinar Online

Dr Idris Ahmad, Amirudin Shari

Artikel Lain