suria

Anwar Ibrahim menghadap Pemangku Raja Pahang

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima menghadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di ibu negara.

Menurut Pegawai Media Istana Abdulaziz, Abdul Rahim Othman, pertemuan itu diadakan secara tertutup selama satu jam bermula kira-kira 10.45 pagi dengan turut disertai Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman.

“Pertemuan tersebut  merupakan satu kunjungan mesra yang dilakukan oleh Anwar sempena bulan Ramadan dan Tengku Abdullah juga mengenalinya semasa menjadi timbalan perdana menteri dahulu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, Selasa.

Sementara itu, Fauzi ketika dihubungi berkata kunjungan hormat itu dilakukan oleh Anwar bagi mempersembahkan ucapan penghargaan dan  menjunjung kasih terhadap perkenan Raja-raja Melayu susulan pengampunan diraja membolehkan beliau dibebaskan.

“Pada pertemuan itu, pelbagai isu semasa negara dibincangkan dan baginda turut mengharapkan perpaduan rakyat terus diutamakan demi kesejahteraan bukan sahaja negeri Pahang, tetapi negara khasnya,” katanya.

Sebelum ini, Anwar telah menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, pada Selasa lepas sebaik dibebaskan pada 16 Mei lalu selepas diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Beliau dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan baginda selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas kes liwat.

Anwar bersama isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas itu pada Jumaat lalu turut melakukan kunjungan hormat di Istana Mahkota, Kota Bharu, Kelantan menghadap Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Beliau turut menghadap bonda dan ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra. - Bernama

Anwar Ibrahim, Tengku Abdullah

Artikel Lain