suria

Suami minta rasuah, isteri menyamar penjawat awam

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa masing-masing atas tuduhan meminta rasuah dan menyamar sebagai penjawat awam.

Penolong Pegawai Kesihatan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) David @ Divi Jasni, 37, mengaku meminta rasuah RM200 daripada Lui Oi Yee di sebuah restoran di Jalan Pantai Cafe di sini pada kira-kira pukul 11.20 pagi 29 Julai tahun lepas sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap premis Lui.

Hakim Abu Bakar Manat menetapkan 25 Mei sebagai tarikh menjatuhi hukuman selepas David, bapa kepada enam anak, memohon agar dia diberi masa untuk mendapatkan wang bagi membayar denda minimum bagi kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abu Bakar menetapkan ikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin.

Sementara itu, isteri, David, Liah Moen, 35, didenda RM300 atau 10 hari penjara oleh mahkamah sama selepas dia mengaku bersalah memakai pakaian yang menjadi sebahagian daripada pakaian rasmi pegawai kesihatan DBKK di tempat serta pada masa dan tarikh sama.

Tuduhan mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara hingga tiga bulan atau denda hingga RM400 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip, manakala pasangan itu tidak diwakili peguam. - BERNAMA

rasuah, mahkamah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain