suria

Chegubard mengaku tidak salah terbit artikel menghasut

SHAH ALAM: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini  atas pertuduhan menyiarkan penerbitan artikel yang menghasut berkaitan institusi diraja Selangor, 11 Januari lepas.

Badrul Hisham atau Chegubard, 40, yang juga bekas Ketua PKR cabang Rembau, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerbitkan tujuh perkara menghasut itu menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya atas nama Chegubard di Jalan Kuarza 7/9, Seksyen 7, di sini kira-kira pukul 5 petang, 11 Januari lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jika kesalahan sama dilakukan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad yang mengendali kes itu memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain tiada sebarang dokumen perjalanan dikeluarkan kepada Badrul Hisham sehingga kes selesai.

Katanya ini kerana tertuduh sepatutnya didakwa semalam namun Badrul Hisham tidak dapat dikesan sehingga tengah malam tadi menyebabkan ia terpaksa ditangguh ke hari ini dan sikap tertuduh dilihat seperti cuba mengelak untuk dibawa ke mahkamah.

Peguam tertuduh, Muhammad Nor Izzat Nordin berkata anak guamnya bersedia menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah dan memohon jaminan dikurangkan antara RM3,000 hingga RM5,000.

Hakim Rihaida kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan kes akan disebut semula pada 16 Mei ini.-- Bernama 

Chegubard, PKR, Rembau

Artikel Sebelum

Kedai roti The Loaf ditutup

Artikel Lain