Jangan terkejut petarung MMA Ann 'Athena' pun pernah dibuli! - Semasa | mStar

Jangan terkejut petarung MMA Ann 'Athena' pun pernah dibuli!

Ann Anthena Osman

BEKAS atlet seni mempertahankan diri, Ann 'Athena' Osman mungkin juara di gelanggang pertarungan, namun dia juga pernah menjadi mangsa buli di sekolah hanya kerana tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu.

"Sewaktu kecil saya tinggal di luar negara, jadi saya memang bercakap dalam bahasa Inggeris. Sekembalinya ke Malaysia, saya dibuli kerana tidak tahu berbahasa Melayu," ujar Ann yang akan menunjukkan demo mempertahankan diri bersama Peter Davis dalam Karnival #StandTogether 15 April ini.

Namun, mujurlah ada ibunya yang banyak membantu sewaktu dia melalui pengalaman pahit itu.

"Saya mengadu pada ibu dan dia memberi penerangan kepada saya mengapa saya diperlakukan seperti itu. Penerangan itu membantu saya menghilangkan kesedihan, malah saya juga mendapat keberanian untuk melawan pembuli itu," kata bekas petarung seni mempertahankan diri campuran (MMA) profesional ini.

Selain itu, Ann atau nama sebenarnya Nur Ain Osman juga pernah menjadi mangsa pembuli jalanan semasa memandu sendirian ketika pulang dari bekerja.

Kenderaannya diekori sekumpulan lelaki. Setelah kumpulan itu berhenti mengekorinya, dia masih lagi trauma dan menggigil selepas kejadian itu.

"Kemudian saya sedar bukan setiap masa ada orang boleh melindungi saya. Di situ timbul keinginan untuk belajar seni mempertahankan diri," kata Ann.

Dan kini, sejak mempelajari seni mempertahankan diri, semua pengalamannya itu tinggal memori.

Walaupun dia sudah bersara dari sukan mempertahankan diri, Ann percaya yang ia mampu membanteras gejala buli.

Menurut Ann, mereka yang belajar seni mempertahankan diri akan menjadi lebih yakin kerana tahu keupayaan untuk melindungi diri sendiri.

Tambahnya lagi, dunia luar sangat bahaya. Jadi, dia berpendapat golongan muda perlu menguasai seni mempertahankan diri.

"Di gelanggang perlawanan, kita memang perlu ganas untuk menang, tapi seni mempertahankan diri ini sebenarnya mengajar nilai kemanusiaan.

"Seni ini banyak ajar tentang kebaikan, sesama atlet pun kita saling menghormati, jadi nilai hormat itu turut kita aplikasikan di luar gelanggang," katanya lagi.

Ann yang kini menjadi pengarah bahagian pengambilan atlet di One Championship, salah satu media sukan global terbesar di Asia berkata, individu yang memiliki personaliti yang baik sememangnya mempunyai nilai tinggi, walaupun dalam bidang sukan.

"Kami cari atlet yang bukan sahaja hebat di gelanggang, malah ada kisah tersendiri yang mempunyai nilai-nilai tertentu," katanya.

Sehubungan itu, Ann telah melibatkan dirinya dalam membasmi gejala buli di sekolah dengan menjadi jurucakap kepada kempen #StandTogether.

Kempen oleh R.AGE dan SP Setia itu menganjurkan Minggu Kebaikan Kebangsaan di sekolah pada minggu pertama April.

Pembukaan Minggu Kebaikan Kebangsaan menyaksikan penglibatan 300 sekolah di seluruh negara yang menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mempromosikan kebaikan.

Kempen #StandTogether turut menyaksikan penglibatan Unicef Malaysia, Teach For Malaysia, Digi, Study Hub Asia, 100% Project dan ahli pembangunan psikologi, Dr Goh Chee Leong.

Dalam pada itu, 120 sekolah menghantar cadangan 'kindness project' dan 30 daripadanya telah dipilih sebagai pemenang yang membawa pulang hadiah geran RM1,000 untuk menjalankan projek berkaitan.

10 lagi sekolah akan dilawati oleh jurucakap selebriti seperti Lisa Surihani, Harith Iskander dan Ismail Izani.

Terdahulu, Ann telah melawat dua sekolah pemenang iaitu SK Kampung Contoh, Penampang dan SMK Sanzac di Sabah.

Kemuncak #StandTogether akan dilangsungkan pada Ahad ini di Pusat konvensyen Setia City, Shah Alam.

Peter Davis (kiri) dan Agilan Thani.

Selain Ann, pejuang seni mempertahankan diri, Agilan Thani, Saiful Merican dan Gianni Subba juga akan berada di sana.

Malah, karnival yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 6.30 petang itu akan dipenuhi dengan aktiviti seperti permainan, persembahan nyanyian, bengkel, demonstrasi dan banyak lagi.

Ia dibuka kepada orang ramai dan kemasukan adalah percuma.

Pada hari itu, Ann akan mengendalikan sesi seni mempertahankan diri.

"Saya akan ajar asas-asas seni memprtahankan diri. Mereka boleh cuba dan belajar di situ, ia pastinya sangat bermanfaat untuk semua," ujar Ann.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pengumuman penting Tun M Ahad ini

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain