suria

Penutupan jalan sempena acara Viper Tunnel Challenge

KUALA LUMPUR: Beberapa laluan di sekitar terowong SMART akan ditutup mulai pukul 11 malam pada Sabtu (14 April) ini dan dijangka dibuka semula untuk pengguna pada 8 pagi Ahad ini sempena acara larian  'Viper Tunnel Challenge 2018'.

Syarikat Mengurus Air Banjir  and  Terowong Sdn Bhd (SMART)  dalam kenyataan pada Khamis berkata penutupan beberapa jalan sekitar dan laluan masuk ke lebuh raya tersebut adalah termasuk keseluruhan Jalan Imbi di hadapan Berjaya Times Square manakala laluan bertentangan di Jalan Imbi ke Jalan Sultan Ismail dibuka seperti biasa.

"Selain itu, jalan yang ditutup termasuklah susur masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui persimpangan lampu isyarat di Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail serta susur masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui Jalan Barat.

"Penutupan ini turut melibatkan susur masuk ke Jalan Kampung Pandan melalui Jalan Changkat Thambi Dollah dan susur masuk ke Jalan Sultan Ismail dari Bulatan Kampung Pandan, kenderaan akan dilencongkan ke Jalan Davis, sementara laluan di Bulatan Kampung Pandan dibuka seperti biasa," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penutupan jalan tersebut turut melibatkan laluan masuk di tanjakan Jalan Kampung Pandan dari Jalan Perkasa menuju ke Jalan Sultan Ismail.

Sementara itu, SMART menasihatkan orang ramai agar menggunakan laluan alternatif di sepanjang tempoh penutupan tersebut.

"Pihak penganjur akan menempatkan pasukan polis trafik di sepanjang lokasi yang terlibat bagi tujuan pemantauan dan untuk memastikan keselamatan orang awam.

"Untuk sebarang maklumat lanjut, pengguna lebuh raya boleh kunjungi laman sesawang SMART di www.smarttunnel.com.my atau boleh melayari laman Facebook SMART Tunnel dan Twitter @Smarttunnel atau hubungi talian bebas tol 1300-88-7188 untuk sebarang pertanyaan," kata kenyataan itu.

'Viper Tunnel Challenge 2018' yang diadakan Sabtu ini merupakan salah satu siri larian berhalangan yang pertama kali diadakan di dalam terowong dwifungsi terpanjang di Asia Tenggara itu.

Acara yang akan diadakan pada sebelah malam itu bakal menguji ketahanan mental dan fizikal lebih 4,000 peserta dengan meliputi jarak larian sejauh lapan kilometer dan sepuluh halangan yang menjadi identiti bagi cabaran Viper.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain