suria

Khidmat Tukang Cuci Sambilan Laris

KLANG: Khidmat tukang cuci sambilan kini mendapat permintaan luar jangka kerana ada keluarga yang sibuk dengan musim perayaan akhir tahun, persiapan sekolah anak-anak yang akan bermula minggu depan dan sambutan Tahun Baru Cina pada Februari.

Clarrie Tan dari Klang yang menawarkan perkhidmatan itu awal tahun ini berkata kebanyakan keluarga lebih suka menggunakan khidmat tukang cuci semasa cuti umum atau pada hujung minggu kerana mereka boleh membuat pemantauan di rumah.

“Saya biasa bekerja sekitar lapan jam sehari dan boleh membersihkan maksimum dua rumah sehari.

“Sebuah rumah standard dengan tiga hingga empat bilik, ruang tamu dan dapur memerlukan tempoh sehingga empat jam untuk dibersihkan,” katanya.

Ibu tunggal itu berkata dia mengenakan bayaran sebanyak RM55 sejam untuk khidmat tersebut dan ada kalanya membawa pembantu bersama atas permintaan pelanggan atau apabila keadaan rumah (pelanggan) lebih luas.

“Walaupun kerja itu kadang-kadang meletihkan, skop kerja agak mudah kerana pelanggan biasanya mahukan tingkap, pintu kaca, kipas dan lain-lain yang kotor dan berdebu dibersihkan.

“Namun kerja pembersihan memerlukan perancangan dan pengurusan masa yang baik agar tempoh masa yang ada tidak dibazirkan,” katanya.

Seorang lagi tukang cuci sambilan, Anis Zainal, 45, berkata dia menawarkan perkhidmatan itu kepada rakan, ahli keluarga dan jiran-jiran di Seksyen 15, Shah Alam selama dua tahun.

“Pertanyaan mengenai perkhidmatan ini meningkat sejak cuti sekolah akhir tahun bermula bulan lepas.

“Saya turut menerima tempahan dari keluarga Cina terutama untuk musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi.

“Memandangkan saya perlu menjaga cucu saya yang berusia lapan tahun, perkhidmatan ini amat sesuai dengan saya kerana ia fleksibel untuk dilakukan, malah saya juga boleh menjana pendapatan untuk diri sendiri,” katanya.

tukang cuci sambilan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain