suria

Ketagih Permainan Video Adalah Penyakit Mental

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mungkin mengklasifikasi "ketagihan permainan video" atau "gaming disorder" sebagai penyakit mental dalam manual penyakit 2018 badan dunia itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Dalam deraf kedua kemas kini ke-11 Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD-11) WHO, ketagihan permainan video telah dimasukkan dalam kategori "gangguan mental, tingkah laku atau perkembangan otak."

Bagi mewajarkan satu diagnosis gangguan sedemikian, seseorang hendaklah mempunyai "kawalan yang terjejas ke atas permainan video," dan memberikan "keutamaan yang meningkat kepada permainan video sehingga ia mendahului kepentingan lain serta aktiviti harian," dan meneruskan permainan video "meskipun berlaku kesan negatif," demikian menurut derat itu.

Corak tingkah laku sedemikian yang begitu teruk sudah memadai untuk mengakibatkan kemerosotan signifikan kepada diri sendiri, keluarga, sosial, pendidikan, pekerjaan atau perkara penting lain, kata ICD-11.

ICD digunakan oleh profesional kesihatan secara global dan berfungsi sebagai satu standard antarabangsa untuk mendefinisikan keadaan kesihatan serta penyakit.

Kematian mengejut dan gejala fizikal yang dikaitkan dengan permainan video secara dalam talian semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2014, seorang wanita China berusia 27 tahun mati mengejut selepas bermain permainan video selama 10 jam berturut-turut.

Pada 2015, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Rusia telah dikejarkan ke wad kecemasan dan meninggal dunia di hospital selepas koma ketika bermain permainan video.

Mangsa dilaporkan bermain permainan video itu secara berterusan hampir 22  hari, dan hanya berhenti untuk tidur serta makan.-- Bernama 

WHO

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain