suria

Dera Bayi: Pasangan Kekasih Ditahan

KAJANG: Sepasang kekasih diberkas bagi membantu siasatan berhubung kes dera kanak-kanak berusia 10 bulan, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, wanita berkenaan merupakan ibu kepada kanak-kanak berkenaan.

"Kita menerima laporan daripada teman lelakinya yang memaklumkan anak perempuan teman wanitanya, muntah dan terdapat  kesan darah pada lampin dipercayai akibat didera," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan awal pihak polis mendapati wanita berkenaan telah menghantar anaknya ke rumah pengasuh di Persiaran Pangsa Baiduri Taman Desa Baiduri Cheras pada jam 7 pagi, Khamis lalu.

"Kemudian dia telah mengambil anak anaknya pada jam 2.30 petang, sejurus kemudian lelaki berkenaan telah terima panggilan telefon daripada teman wanitanya yang memaklumkan mangsa tiba-tiba telah muntah dan terdapat kesan darah di lampinnya," katanya.

Beliau berkata, lelaki tersebut telah membawa mangsa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

"Semasa mangsa menerima rawatan, doktor yang bertugas telah merujuk kanak-kanak itu ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Doktor yang merawat mangsa memaklumkan terdapat kesan lebam di belakang badan dan perut mangsa disyaki telah didera," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan tidak mengesyaki mangsa didera oleh pengasuh berkenaan kerana sebelum ini anaknya yang sulung juga telah dijaga oleh pengasuh yang sama dalam keadaan baik.

"Siasatan juga mendapati pasangan itu masih belum berkahwin tetapi tinggal bersama.

"Mangsa merupakan anak bongsu daripada empat orang adik beradik berlainan bapa," katanya.

Beliau berkata, mangsa dijaga oleh ibunya sendiri sejak sebulan yang lalu, yang mana sebelum ini mangsa telah dijaga oleh sepasang suami isteri iaitu sepupu kepada lelaki berkenaan sejak mangsa berusia lima bulan hingga sembilan bulan.

"Kemudian ibu mangsa telah meminta untuk menjaga sendiri mangsa daripada keluarga angkat mangsa," katanya.

Menurutnya, polis juga mendapati kesan lebam pada bahagian perut, belakang, telinga dan kepala mangsa, terdapat juga pendarahan pada bahagian kemaluan mangsa.

"Daripada hasil pemeriksaan doktor dapati hymen mangsa masih intact dan tiada kecederaan pada bahagian kemaluan mangsa dan kesan lebam pada badan mangsa adalah dipercayai kesan penderaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa dan dua orang lagi adik beradik mangsa berusia lima tahun dan tiga tahun telah ditahan di Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Semakan rekod jenayah lampau ke atas pasangan itu, kami mendapati mereka mempunyai rekod jenayah dan rekod penglibatan dadah," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Sinar Harian

bayi dera, ibu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain