suria

Pengganas Masuk Guna Pas, Visa Pelajar

PARIT: Polis Diraja Malaysia mengesan wujud sindiket yang membawa masuk pengganas warga asing (FTF) ke negara ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata ini dikesan berikutan penahanan 48 suspek berkaitan sebelum ini.

“Kita percaya mereka menggunakan pas pelajar, seperti kes yang kita tahan sebelum ini ke atas sembilan orang dari Abu Sayyaf Group (ASG) di Selatan Filipina.

“Ada juga yang guna dokumen palsu untuk masuk ke pintu negara. Mereka guna ruang untuk belajar di institusi agama dan mereka turut diberi visa pelajar,” katanya pada sidang media pada majlis sambutan Hari Sukan Negara di sini Sabtu.

Pada Jumaat, Mohammad Fuzi berkata 45 pengganas FTF ditangkap hasil operasi mengesan dan menangkap mereka yang dijalankan sejak 6 Oktober lalu dan tiga orang lagi ditahan tiga hari lepas.

Sehubungan itu Mohamad Fuzi berkata PDRM sedang mengesan dan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk membendung perkara berkenaan.“Kita sedang bekerjasama dengan semua pihak berkuasa di dalam negara," katanya.

Menurutnya, PDRM memandang serius dengan kehadiran pengganas asing memandangkan Malaysia adalah antara negara yang menjadi tumpuan mereka.

Beliau berkata PDRM juga bekerjasama dengan rakan sejawatan tempatan dan asing mereka untuk memastikan tiada ancaman pengganas asing dalam negara.

“Kita akan mengambil langkah proaktif dari semasa ke semasa. Kita percaya mereka (pengganas) menggunakan konteks mereka  terutama Daesh daripada negara kita dan daripada negara lain.

“Sebagai contoh kita menahan 19 orang daripada mereka, kita berupaya mengesan mereka menerusi kerjasama kita dengan pihak risikan dan keselamatan negara-negara lain,' kata Mohamad Fuzi.

Hari Sukan Negara PDRM yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muzafar 1, Lambor Kanan, Bota di sini disambut dengan pelbagai acara antaranya jogathon, kayuhan basikal, cabutan bertuah selain pertunjukkan payung terjun anggota Komando VAT69 PDRM dan pertunjukkan bina badan.

Kira-kira 10,000 orang menghadirinya. - BERNAMA

pas, visa pelajar, pengganas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain