suria

Curi Pewangi Mahu Harum

Tertuduh (tengah) dikawal polis sebaik keluar dari mahkamah. - Sinar Harian

KOTA BHARU: Padah mencuri barangan penjagaan untuk kelihatan cantik dan berbau wangi, seorang promoter dihukum penjara selama 13 hari dan denda RM500 di mahkamah majistret, di sini, Selasa.

Tertuduh, Nor Maliyani Mat Nor, 22, dihukum selepas mengaku salah di hadapan Majistret, Nik Habri Muhammad.

Tertuduh didakwa mencuri Ambi Pur Gel Fresh&Floral 180G; Ambi Pur Gel Relaxing Lavender 180G; lima Gillete Daisy; dua Glade Hang It Fresh Lavender; Ubat Gigi Colgate Plus Sugar Acid Neutral 225G; Listerine Total Care 250ml; Pucelle Fantasy Love; Minyak Wangi Enchaunter; Pewangi Ketiak Enchaunter 75ml; Minyak Wangi Bad Lab Deo Spray 100ml; Syampu Loreal Paris Elseve 325ml.

Kesalahan dilakukan di sebuah pasar raya dalam kompleks membeli belah di Jalan Hamzah, di sini, pada jam 9.40 malam, 7 September lalu.

Pada masa sama, tertuduh juga mencuri, dua bar Coklat Cadbury Dairy Milk Bar Oreo 130g dan Roast Almond 165 g yang keseluruhannya bernilai RM168.25.

Nik Habri dalam keputusannya memberi nasihat panjang lebar kepada tertuduh supaya mengambil pengajaran atas kesalahannya itu.

Katanya, barangan yang dicuri tertuduh bukannya makanan atau keperluan yang mendesak.

“Buat apa kamu curi semua barang ni? Mencuri untuk comel, untuk wangi? Kalau lapar tu, lainlah ceritanya,” katanya.

Beliau berkata, banyak kes seumpama itu disebut di mahkamah berkenaan dan sudah berkali-kali beliau menasihati masyarakat agar tidak mencuri kerana peruntukkan hukuman bagi kesalahan itu sangat berat.

“Mengikut peruntukkan seksyen ini (380 Kanun Keseksaan), mencuri dalam bangunan membolehkan kamu didenda dan dihukum penjara sehingga 10 tahun. Hukuman penjara pula adalah wajib, jangan main-main, kesalahan kamu membawa hukuman yang serius,” katanya.

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh yang berada di dalam kandang pesalah hanya tertunduk mendengar nasihat beliau.

Dalam kejadian lalu, tertuduh ditahan pengawal keselamatan yang sedang bertugas dan pemeriksaan lanjut menjumpai kesemua barangan curi itu dalam beg kain berwarna biri yang dibawa tertuduh. Tertuduh kemudiannya diserahkan kepada polis.

Tertuduh berada di dalam tahanan selama 13 hari sejak penahanannya dan tempoh itu dikira sebagai hukuman penjara, namun bagi Nik Habri hukuman itu belum memadai.

“Saya tambah hukuman denda RM500 atau penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskannya. Hukuman ini harap dapat memberi pengajaran kepada kamu dan orang lain supaya tidak mengulangi perbuatan lagi,” katanya.

Artikel Sebelum

Dua Kampung Berebut Tanah Kubur

Artikel Lain