suria

Zahid Nafi M'sia Henti Permit Untuk Rakyat Korea Utara

Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan laporan agensi berita Jepun bahawa Malaysia telah menghentikan pengeluaran permit kerja untuk warga Korea Utara.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata tiada sebarang arahan dikeluarkan berhubung perkara itu.

"Berita itu adalah tidak benar dan tiada sebarang arahan dikeluarkan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria, di sini Sabtu.

Pada Khamis lepas, sebuah agensi berita Jepun, Kyodo News, melaporkan Malaysia menghentikan pengeluaran permit kerja untuk warganegara Korea Utara, susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu, Kim Jong Un.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menunggu penerbangan ke Macau pada 13 Februari lepas. - Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain