suria

13 'Mat Lajak' Ditahan, Polis Rampas Basikal Ubah Suai

JOHOR BAHRU: Polis menahan sekumpulan 13 'Mat Lajak' dan merampas 15 buah basikal yang diubahsuai di Jalan Denai di Taman Bukit Jaya di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan M Kumar berkata, semua penunggang basikal yang berusia 11 hingga 15 tahun itu ditahan berikutan maklumat daripada orang awam pada kira-kira pukul 4.30 petang, Jumaat.

Beliau berkata semua penunggang basikal dibawa ke Balai Polis Pelangi Indah untuk dirakamkan kenyataan mereka sebelum diserahkan kepada ibu bapa masing-masing pada hari yang sama.

"Semua penunggang basikal itu telah dikenakan saman di bawah Peraturan 42 (1) (a) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 kerana mengubah suai brek dan loceng basikal mereka," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan.

Semua basikal telah disita di bawah Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya lagi polis juga telah merekodkan butiran ibu bapa mereka dan menasihatkan supaya lebih peka dengan aktiviti anak masing-masing.

Mat Lajak

Artikel Berikut

Artikel Lain