suria

Gangguan Air Di Klang & Shah Alam Pulih Sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Bekalan air di sekitar Klang dan Shah Alam yang sebelum ini mengalami gangguan susulan paip utama di belakang bangunan ELC International School, Jalan Sierramas Barat, Sungai Buloh, pecah kini pulih sepenuhnya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dalam kenyataan pada Sabtu berkata bekalan air di kawasan Kuala Lumpur dan Petaling pula, masing-masing telah mencapai status pemulihan sehingga 94 dan 86 peratus.

"Kawasan yang sedang pulih di Kuala Lumpur termasuk sebahagian Bukit Damansara, Jalan Setiabistari, Jalan Setiarasa, Jalan Setiaraya, Jalan Setiajaya, Jalan Medan Setia dan Jalan Setiamurni."

"Di Petaling, kawasan yang masih dalam pemulihan adalah sebahagian dari Kelana Jaya, sebahagian PJU10 dan PJU1, Damansara Damai, Saujana Damansara, Damansara Utama dan Damansara Jaya."

"Selain itu, kawasan yang turut terlibat di sekitar Petaling ialah Ara Damansara, sebahagian Subang Jaya, Jalan Klang Lama, Jalan Kuchai Lama, Desa Petaling, Sri Petaling dan sebahagian Sungai Besi," menurut kenyataan itu.

Bekalan air bantuan masih dihantar melalui lori tangki air ke kawasan yang memerlukannya dan akan diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Pengguna boleh memohon bekalan air bantuan dengan menghantar SMS ke 15300 (taip: Tankernama dan alamat) atau merujuk www.syabas.com.my dan aplikasi telefon pintar "mySyabas" bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kerja pembaikan.  -Bernama

Bekalan Air

Artikel Lain