suria

Kru KD Perantauan Di Perairan Bintulu Masih Belum Ditemui

Gambar fail KD Perantau.

LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang kru Kapal Diraja (KD) Perantau yang dilaporkan hilang, dikhuatiri terjatuh ke dalam laut di Bintulu, Sarawak pada Isnin kata Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob.

Beliau juga menafikan mesej yang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp kononnya kru berkenaan ditemui tertidur di satu bahagian kapal itu.

Katanya, beliau berasa sedih dan tidak menyangka perkara membabitkan nyawa anggotanya dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Berita itu tidak benar, saya sendiri telah melihat perkara itu tular dan ini sangat tidak elok. Kita bertarung... berusaha gigih untuk mencari mangsa tetapi ada orang mempermainkan kata dah jumpa. Individu yang menyebarkan perkara ini langsung tidak menjaga sensitiviti keluarga mangsa tersebut dan saya menafikan perkara itu dan kita sedang meneruskan pencarian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Rahman berkata kesemua kru kapal itu telah membuat pencarian secara menyeluruh di setiap bahagian kapal sebelum mengumumkan mengenai kejadian kru kapal tersebut hilang.

"Sebelum mengumumkan dia tiada di kapal, kita telah menggeledah seluruh kapal. Memang tidak ditemui dan kesimpulannya dia memang tiada di dalam kapal seperti yang tular di laman sosial," katanya.

Menurutnya lagi, beberapa pangkalan TLDM termasuk pangkalan TLDM Kota Kinabalu juga telah mengadakan solat hajat bagi memastikan operasi pencarian berjalan dengan lancar.

"Setakat ini kita membuat pencarian di tempat dilaporkan kru tersebut disyaki terjatuh dan membahagikan sektor-sektor pencarian mengikut perkiraan faktor arah angin dan arus laut sebagainya," katanya sambil menambah cuaca di lokasi pencarian dalam keadaan baik.Beberapa aset turut digerakkan untuk pencarian pada Selasa termasuklah KD Selangor, KD Perantau, KD Serang dan MV Mega Bakti, katanya.

Pada Isnin, akhbar tempatan melaporkan anggota terbabit disedari hilang selepas tidak hadir ke perbarisan wajib rutin harian kira-kira pukul 9 pagi dan kali terakhir dilihat berada di bilik rehat kapal itu pada jam 7.15 pagi ketika dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar.

KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal berada di Sabah dan Sarawak selama enam hari selepas melaksanakan ujian penerimaan sistem pengukuran hidrografi.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Mujur Tak Menetas Lagi'

Artikel Lain