suria

Rakyat Malaysia Makan Terlalu Banyak Daging - Pakar Nutrisi

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia makan terlalu banyak produk haiwan dan kurang sayur-sayuran, menurut pakar nutrisi di Institut Jantung Negara (IJN). 

Bercakap pada pelancaran edisi ke-8 Bulan Nutrisi, yang merupakan acara tahunan, di sini Isnin, mereka berpendapat obesiti menjadi punca penyakit serius seperti diabetes dan jantung yang masih menghantui rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub melancarkan program tersebut, termasuk kelas memasak bagi mereka yang berminat dengan diet sihat.

"Pelbagai demonstrasi masakan dibuka kepada orang awam untuk mempelajari bagaimana memasak cara sihat di samping membantu memelihara kebersihan persekitaran," katanya ketika merasmikan Bulan Nutrisi 2017, bertemakan 'Go ECO - Eat for Health, Care for the Environment and Optimise Wellness'.

Dr Mohd Azhari berkata, bulan nutrisi berkenaan bertujuan menggalakkan amalan pemakanan sihat yang juga melestarikan alam sekitar bagi mencapai kesihatan secara menyeluruh.

Pengerusi Bulan Nutrisi 2017, Foong Pui Hing berkata, kesemua pakar diet dan kakitangan perkhidmatan makanan sangat berdedikasi dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan pekerja IJN dan orang awam.

Beliau berkata, rakyat Malaysia seringkali mengambil mudah berkenaan kesihatan mereka dan ramai yang tidak sedar mereka menghidap diabetes, penyakit jantung dan sebagainya.

Fong menggalakkan orang ramai untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang ditawarkan IJN, antaranya demonstrasi masakan dengan resipi mesra alam setiap Selasa dan Khamis bermula 12 tengah hari di lobi utama hospital.

Setiap peserta akan diberi buku kecil 'Urban Health' dan artikel serta resipi mesra alam. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain