suria

Pengemis Jerman Kembali Ke Malaysia

Holst dilihat mengemis di Kuala Lumpur. -foto ihsan ADRIAN LAI

PETALING JAYA: Pengemis Jerman, Benjamin Holst kembali ke negara ini dan dikesan meminta wang daripada orang ramai di Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 32 tahun itu meninggalkan Malaysia untuk bercuti di Vietnam pada 15 Mac tetapi kembali semula pada awal minggu ini.

Dia telah dilihat mengemis di sekitar Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penulis, Adrian Lai, 28, memberitahu The Star Online pada Jumaat bahawa beliau melihat Holst meminta wang daripada pemandu kenderaan yang berhenti di lampu isyarat.

"Dia berjalan dari kereta ke kereta meminta derma dengan memegang cawan kertas.

"Orang ramai menurunkan cermin tingkap kereta mereka dan bermurah hati menderma kepadanya," kata Lai, menceritakan pertemuannya dengan Holst, sekitar tengah hari Khamis.

"Malah ada pemandu yang memberi isyarat supaya dia datang kepada mereka kerana mereka mahu memberikan sejumlah wang kepadanya," katanya.

Lai berkata, situasi itu menyebabkan kawasan tersebut sesak dan menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Saya mahu meneruskan perjalanan bila lampu isyarat hijau tetapi beberapa kereta telah berhenti di tepi jalan. Sebuah van tiba-tiba memintas masuk ke lorong kanan untuk mendapatkan Holst."

Lai berkata beliau telah melihat Holst di tempat yang sama selama tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata rakyat Malaysia bermurah hati menderma kepada Holst kerana mereka bersimpati dengan kecacatannya, tetapi tidak menyedari bahawa pelancong berkenaan menggunakan wang yang diterimanya untuk menikmati gaya hidup mewah.

Holst mengalami penyakit Macrodystrophia lipomatosa yang menyebabkan kaki kirinya menjadi bengkak teruk.

Menurut peguam bela jenayah Farhan Read, aktiviti mengemis yang dilakukan Holst adalah suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Kecil.

"Jika sabit kesalahan, dia akan dikenakan penalti yang biasa di bawah Akta tersebut.

"Bagaimanapun dia tidak akan dihantar pulang secara automatik jika sabit kesalahan. Itu terpulang kepada budi bicara ketua pengarah Imigresen," kata Farhan.

Ketika dihubungi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, polis sedang menyiasat isu ini.

The Star sebelum ini melaporkan bahawa Holst dilihat berada di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang awal bulan ini.

Dikenali di seluruh dunia sebagai pengemis profesional, Holst bergerak di seluruh dunia untuk mengemis, sambil memuat naik posting Facebook mengenai penginapan di hotel-hotel mahal, minum di bar dan menyewa pelacur.

Eksploitasi itu telah menyebabkan dirinya diusir oleh Thailand, Kemboja dan Indonesia.

Menurut catatan terbaru di laman Facebooknya, Holst akan kembali ke Thailand selepas 'bertugas' di Malaysia

pengemis Jerman, Benjamin Holst

Artikel Sebelum

Artikel Lain