suria

1MDB Bebas Hutang Bank, Hutang Jangka Pendek

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak mempunyai sebarang hutang bank atau hutang jangka masa pendek pada masa ini, kata Kementerian Kewangan pada Khamis.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis, kementerian itu berkata 1MDB telah menyelesaikan sepenuhnya kesemua hutang pada 2015 dan 2016.

"1MDB telah memperoleh tunai sebanyak RM10.97 billion pada tahun 2015 dan 2016 melalui penjualan aset syarikat Edra Global Energy Sdn Bhd, penjualan sebahagian ekuiti syarikat Bandar Malaysia Sdn Bhd dan penjualan lot tanah di projek Tun Razak Exchange," kata kementerian itu.

Jawapan bertulis itu sebagai menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bilangan pekerja, wang tunai, hutang dan aset diperoleh 1MDB di dalam dan luar negara pada tahun-tahun 2015 dan 2016.

Kementerian Kewangan turut memberi pecahan pembayaran kesemua hutang 1MDB iaitu sebanyak RM229.5 juta Kemudahan Kredit Berputar daripada Affin Bank pada 23 November 2016; RM950 juta bagi Kemudahan Kredit Tersedia daripada kerajaan pada 31 Mac 2016; RM2 bilion bagi Kemudahan Pinjaman Berjangka daripada Marstan Investments N.V yang dijelaskan sepenuhnya pada 8 April 2016 serta US$150 juta Kemudahan Pembiayaan Berjangka daripada EXIM Bank yang dijelaskan sepenuhnya pada 15 April 2016.

Selain itu, tiada sebarang aset baharu di dalam atau di luar negara yang diperoleh 1MDB pada 2015 dan 2016, seiring dengan Pelan Rasionalisasi 1MDB yang sedang dilaksanakan oleh syarikat itu, kata kementerian.

1MDB juga mempunyai seramai 35 orang pekerja pada 31 Disember 2015 dan 17 orang pekerja pada 31 Disember 2016. - BERNAMA

1MDB, Kementerian Kewangan

Artikel Berikut

Artikel Lain